Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan di Mahkamah Sesyen bahawa beliau tidak pernah mengetahui tentang wang berjumlah RM2.8 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad, hampir 10 tahun lalu.
Kenyataan itu dibuat ketika prosiding bela diri atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan pelaburan Felcra Berhad berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
“Saya tidak tahu”
Ketika disoal peguam bela, Ridha Abdah Subri, Bung Moktar menjawab secara tegas bahawa beliau tidak pernah menerima wang sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada dua ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.
Apabila diajukan soalan sama ada beliau mengetahui Zizie Izette menerima wang RM2.8 juta daripada kedua-dua individu itu pada Jun 2015, Bung Moktar menjawab ringkas, “Saya tidak tahu.”
Beliau turut menolak dakwaan kononnya beliau pernah mengarahkan isterinya menerima wang berkenaan bagi pihaknya. “Tidak pernah, kerana saya langsung tidak tahu mengenai perkara itu,” katanya.
Baca juga:
- ‘Kematian Zara Qairina paling konsisten dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri’ – Pakar
- Sin Sing Coffee tepis dakwaan terkait isu peralatan tidak halal
- TNB nafi dakwaan kenaikan tarif elektrik mulai April
Tidak campur tangan dalam kewangan isteri
Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah menjelaskan, sejak berkahwin, beliau dan isteri-isterinya mempunyai persefahaman bahawa kewangan mereka diurus secara berasingan.
“Duit mereka adalah duit mereka dan saya tidak masuk campur,” katanya.
Menurut beliau, hanya selepas dipanggil membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar 2016 atau 2017 barulah isu tersebut diketahui.
Beliau juga menegaskan tidak pernah mempercepatkan kelulusan Kementerian Kewangan bagi pelaburan tersebut, sebaliknya semua prosedur dilakukan mengikut saluran rasmi oleh Ahli Lembaga Pengarah Felcra.
Pertuduhan terhadap Bung Moktar dan Zizie Izette
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah keseluruhan RM2.8 juta sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur dalam unit amanah Public Mutual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 dan 19 Jun 2015 di Public Bank Cawangan Taman Melawati. Zizie Izette turut berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung transaksi tersebut.
Jika sabit kesalahan, Bung Moktar berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Prosiding perbicaraan akan bersambung pada hari ini.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro








