Bumi mungkin mempunyai 'Cincin' seperti planet Zuhal pada 500 juta tahun lalu - Penyelidik | The Reporter

Bumi mungkin mempunyai ‘Cincin’ seperti planet Zuhal pada 500 juta tahun lalu – Penyelidik

Foto hiasan sahaja

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Para penyelidik telah menemui petunjuk yang jelas bahawa bumi mungkin pernah mempunyai ‘cincin’ seperti planet Saturn atau Zuhal beratus juta tahun lalu. Penemuan ini mencabar pemahaman ramai mengenai sejarah kuno bumi.

Penemuan ini dibuat setelah mengkaji lebih daripada 21 kawah impak asteroid di Bumi, yang hampir berusia 500 juta tahun.

Kesemua kawah ini terletak dalam lingkungan 30 darjah dari khatulistiwa, walaupun lebih daripada 70 peratus kerak benua bumi berada di luar kawasan ini, ini adalah satu keanehan yang tidak dapat dijelaskan oleh teori konvensional, kata para penyelidik.

Impak meteorit dalam rekod geologi

Kredit foto: Astrobites

Corak impak ini terjadi selepas sebuah asteroid besar mengalami pertembungan hampir dengan Bumi. Apabila asteroid melepasi had Roche bumi, ia pecah dan membentuk cincin serpihan di sekeliling planet, sama seperti cincin yang mengelilingi planet Zuhal.

“Selama berjuta-juta tahun, bahan dari cincin ini secara perlahan jatuh ke Bumi, mencipta lonjakan impak meteorit yang dilihat dalam rekod geologi,” kata Profesor Andy Tomkins, pengarang kajian utama dari Monash University’s School of Earth, Atmosphere and Environment.

“Kita juga melihat lapisan dalam batuan sedimen dari tempoh ini mengandungi jumlah serpihan meteorit yang luar biasa. Penemuan ini bukan saja tentang batu-batu dari angkasa jatuh ke Bumi, ia juga berkaitan dengan iklim kita. Cincin ni mungkin ada kaitan dengan perubahan iklim zaman dulu,” katanya.

Cincin mungkin telah menghasilkan bayangan di bumi

Foto hiasan | Kredit: Peter’s Blog

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Earth and Planetary Science Letters menyatakan, cincin ini mungkin telah menghasilkan bayangan di bumi, menghalang cahaya matahari dan menyumbang kepada peristiwa penyejukan global yang dikenali sebagai peristiwa ‘Hirnantian Icehouse’.

Peristiwa ini berlaku hampir di akhir Zaman Ordovisium, yang diiktiraf sebagai salah satu tempoh yang sangat dingin dalam 500 juta tahun sejarah bumi. – Agensi

Related Posts