Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Omar Ali menegaskan penghargaan terhadap sumbangan atau inisiatif individu bukan Islam yang memberi manfaat kepada masyarakat tidak bermaksud seseorang itu ‘menjilat Cina’.
Beliau berkata, umat Islam perlu melihat sesuatu perkara berdasarkan manfaat dan kebaikan yang terhasil, bukan semata-mata berdasarkan latar belakang individu yang melakukannya.
Menurutnya, beliau mengambil contoh sumbangan dan inisiatif yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin bukan Islam seperti Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke Siew Fook serta Steven Sim Chee Keong yang disifatkan memberi manfaat kepada masyarakat Melayu Islam.
Sheikh Omar berkata, perkara tersebut menunjukkan bahawa Allah SWT berkuasa menjadikan sesiapa sahaja sebagai asbab atau sebab kepada sesuatu kebaikan, termasuk melalui individu yang bukan daripada kalangan orang beriman.
Beliau menjelaskan pemahaman itu selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut bahawa Allah boleh menguatkan agama ini melalui seseorang yang mempunyai kekurangan atau tidak soleh, sebagaimana dihuraikan oleh ulama mengenai keluasan kuasa Allah dalam menentukan sebab berlakunya sesuatu perkara.
Menurutnya, hadis berkenaan tidak bermaksud Allah meredai kefasikan atau kekufuran seseorang, sebaliknya menunjukkan Allah mampu menggunakan sesiapa sahaja bagi mencapai sesuatu hikmah dan kemaslahatan.
Beliau turut memberikan contoh dalam sirah Nabi Muhammad SAW apabila individu bukan Islam seperti Abdullah Urayqit membantu Rasulullah SAW sebagai penunjuk jalan ketika hijrah, manakala Mut‘im bin Adi memberikan perlindungan kepada Baginda selepas peristiwa di Taif.
Sheikh Omar berkata, penilaian terhadap iman, ketakwaan dan keikhlasan seseorang tetap menjadi perkara tertinggi di sisi Allah, namun umat Islam tidak seharusnya menolak sesuatu manfaat hanya kerana ia datang daripada individu bukan Islam.
Baca juga:
- Lee Chean Chung pula dakwa akses MyKhas disekat
- ‘Mia dah dapat cermin kereta baru’ – Aktivis Sabah
- ‘Bukan nak menjilat Cina, tapi hargai manfaat diberi’ – Sheikh Omar
Terdahulu, beliau meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa mempersendakan perkara berkaitan agama selepas sebuah hantaran di platform Threads menyentuh isu majlis bacaan tahlil.
Beliau mengecam hantaran oleh akaun wan.zuhir yang mendakwa kononnya berlaku ‘majlis bacaan tahlil atas pemakaman Loke di Chennah’, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mencemarkan imej Islam.
Sheikh Omar menegaskan isu agama tidak seharusnya dijadikan bahan sindiran atau permainan politik kerana ia melibatkan sensitiviti dan penghormatan terhadap amalan umat Islam.
“Saat Pemuda UMNO (yang sinonim memperjuang Melayu Islam) memperlekeh Anthony Loke dengan isu tahlil, inisiatif Steven Sim telah beri manfaat kepada Melayu Islam kita,” katanya.









