Budak 6 tahun undurkan kereta sebelum pandu ke kedai, polis nafi ada unsur mistik | The Reporter

Budak 6 tahun undurkan kereta sebelum pandu ke kedai, polis nafi ada unsur mistik

Polis menafikan dakwaan yang sedang tular di media sosial kononnya kejadian kereta dipandu kanak-kanak berusia enam tahun sehingga terbabas kelmarin, mempunyai unsur mistik.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan pihaknya mendapati kanak-kanak berkenaan tahu akan fungsi pedal minyak dan gear.

“Kanak-kanak terbabit menunjukkan cara menghidupkan enjin dan dapat menghidupkan enjin apabila diminta, selain menunjukkan bagaimana cara menurunkan brek tangan.

“Kanak-kanak itu juga boleh menerangkan penggunaan gear kepada pegawai penyiasat trafik.

“Pada malam kejadian, kanak-kanak terbabit mengundurkan kereta dahulu sebelum keluar daripada perkarangan rumah. Jarak rumah dengan kedai yang ingin dituju sejauh lima kilometer, namun terlibat kemalangan ketika sudah memandu separuh jalan,” jelasnya memetik laporan daripada Kosmo! Online

Pemeriksaan pada video dashcam pula mendapati pemanduan kanak-kanak itu tidak stabil di mana dia memandu ke kiri dan ke kanan serta sesekali memasuk lorong bertentangan.

Kenyataan Shariman itu sekali gus menyangkal dakwaan individu yang mengaitkan kejadian itu dengan unsur mistik kononnya kereta tersebut dipandu oleh seorang lelaki tua berkulit gelap dan berbulu.

Related Posts