Budak 6 tahun maut setelah dipaksa berlari di atas treadmill sebab terlalu gemuk | The Reporter

Budak 6 tahun maut setelah dipaksa berlari di atas treadmill sebab terlalu gemuk

Christopher Gregor, Corey Micciolo | Foto New York Post

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki di New Jersey didakwa membunuh anak lelakinya berusia enam tahun dengan memaksanya berlari di atas treadmill atas alasan ‘terlalu gemuk’.

Tertuduh, Christopher Gregor, 31, didakwa di Mahkamah Agung Ocean City pada Selasa atas pertuduhan membunuh Corey Micciolo pada 2021 dan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut ditunjukkan video di mana Gregor memaksa Corey berlari di atas treadmil. Akibatnya Corey terjatuh berulang kali kerana kelajuan treadmill yang berada di luar kemampuannya.

Berdasarkan video rakaman litar tertutup (CCTV) pada 20 Mac 2021, dua beranak itu dilihat memasuki pusat kecergasan Atlantic Heights Clubhouse. Corey segera disuruh berlari di treadmill.

Video menunjukkan Gregor meningkatkan kelajuan treadmill dan menaikkan kecerunan trek. Perubahan mendadak itu membuatkan Corey terjatuh dan tergelincir dari trek.

Gregor kemudian mengangkat dan meletakkan Corey di atas trek semula. Mangsa akur tetapi terjatuh beberapa kali dan berusaha untuk menaiki trek itu semula.

Melihat kesukaran Corey, Gregor mengurangkan kadar kelajuan dan tahap kecerunan.

Alami kesukaran bernafas

Sementara itu, ibu mangsa Bre Micciolo yang merupakan saksi pertama menangis apabila menonton video tersebut.

Beberapa hari sebelum kematian mangsa, wanita itu melaporkan anaknya mengalami kecederaan. Pada 1 April, Bre Micciolo meminta Gregor membawa Corey berjumpa dengan doktor.

Corey memaklumkan kepada doktor, bapanya meminta dia berlari di atas treadmill kerana dia terlalu gemuk.

Keesokan harinya, Gregor membawa anaknya ke hospital kerana mengalami kesesakan nafas selepas bangun dari tidur. Semasa menjalani CT scan, Corey mengalami sawan dan kakitangan perubatan segera mengambil langkah-langkah untuk merawatnya tetapi gagal.

Pakar sahkan kematian Corey sebagai kes bunuh

Autopsi awal mendapati, Corey meninggal dunia akibat masalah jantung dan hati.

Julai 2021, Gregor ditahan polis atas pertuduhan mengabaikan anak, setelah penyiasat menyemak video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat kecergasan.

Pada September, seorang pakar forensik memaklumkan kematian Corey diklasifikasikan sebagai dibunuh kerana mangsa mengalami kecederaan tumpul di dada, perut, dengan luka di jantung, lebam di paru-paru kiri dan hati.

Dr. Thomas Andrew percaya Corey menderita kecederaan traumatik akut pada jantung empat hingga 12 jam sebelum kematiannya.

9 Mac 2022, Gregor ditahan polis atas kematian anaknya. Dia menolak tawaran pengakuan bersalah dan ditahan di Penjara Ocean City tanpa sebarang jaminan.

Sumber: New York Post

Related Posts