Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera parah selepas terjatuh dari tingkat 12 dan tersangkut di tingkat tujuh sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Jelutong.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 9.20 pagi Sabtu.
Mangsa ditemui oleh neneknya yang ketika itu sedang berada di dalam bilik air. Wanita berusia 63 tahun itu terkejut apabila mendapati cucunya berada di atas bumbung konkrit tingkat tujuh bangunan berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu terjatuh dari tingkap bilik tidur utama.
“Katil di dalam bilik tersebut terletak berdekatan tingkap. Tiada saksi yang melihat kejadian ini berlaku. Mangsa kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Harian Metro








