Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Penganjur acara Good Vibes Festival, Future Sound Asia, telah memfailkan saman sebanyak £1.9 juta (RM11.25 juta) terhadap kumpulan muzik Britain, The 1975, di Mahkamah Tinggi United Kingdom.
Tindakan ini diambil setahun selepas kontroversi yang dicetuskan oleh penyanyi utama kumpulan tersebut, Matthew Healy, semasa persembahan mereka di festival tersebut.
Menurut laporan, Future Sound Asia mendakwa The 1975 sengaja melanggar undang-undang negara meskipun telah diberikan beberapa peringatan.
Antara garis panduan yang perlu dipatuhi oleh artis semasa berada di atas pentas termasuk larangan mengeluarkan kata-kata kesat, merokok, minum minuman keras, menanggalkan pakaian, serta bercakap tentang isu politik atau agama. Selain itu, garis panduan tersebut juga secara khusus mengharamkan ciuman.
Tuntutan saman tersebut menyatakan The 1975 tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan dan sebaliknya memutuskan untuk memprotes peraturan tersebut dengan memainkan senarai lagu yang berbeza serta mengingkari garis panduan dengan sengaja. Ini termasuk ucapan provokatif Healy, ciuman dan ‘pelukkan ghairah yang dibuat-buat dengan lama’ ke atas seorang lagi anggota kumpulan itu, Ross MacDonald.
Future Sound Asia memfailkan permintaan ganti rugi pada tahun lepas melalui firma guaman, Steven Thiru & Sudhar Partnership, yang memetik perjanjian bertulis Healy bahawa kumpulan itu akan mematuhi semua garis panduan dan peraturan tempatan.
Dalam satu kenyataan, Future Sound Asia menyatakan tindakan The 1975 telah memberi kesan negatif kepada artis dan perniagaan kecil tempatan yang bergantung pada festival tersebut untuk peluang kreatif dan mata pencarian mereka.
Sumber: The Star, Malay Mail








