Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kata orang kerja-kerja atau tugasan dalam rumah tidak pernah habis. Ada sahaja perkara yang perlu diselesaikan walaupun baru sahaja dibuat.
Antara memasak, mengemas dan menjemur pakaian, aktiviti melipat pakaian merupakan satu perkara yang sukar untuk diselesaikan pada hari yang sama. Oleh kerana itu juga, ada sindiran halus kepada kaum wanita supaya jangan membiarkan kain yang tidak berlipat seperti setinggi gunung Kinabalu!
Bagaimanapun, tugasan ini bukan hanya terletak pada tanggungjawab si isteri, tetapi apa salahnya jika si suami meringankan bebanan isteri. Nampak seolah benda mudah, bukan? Tetapi bagi kaum isteri ini merupakan satu kelegaan bagi mereka jika mempunyai suami yang memahami keadaan.
Seorang lelaki raih pujian ramai apabila membantu isterinya menyelesaikan tugasan melipat kain di rumah.
Bagi Mohd Fadhli Othman, kadang-kadang tugasan rumah yang dibuat lelaki yang bergelar suami seolah tidak terzahir pada pandangan mata orang ramai sebaliknya hanya terlihat kekurangan.
“Jam 3.00 pagi dah. Baru habis lipat tiga bakul baju.
“Kisah suami tak ramai yang nak ambil tahu. Isteri selalu nampak pengorbanannya— sakit sembilan bulan, bertarung nyawa di bilik bersalin, berjaga malam susukan anak. Semua itu memang besar dan tak ternilai. Dan memang betul, itu fitrahnya seorang isteri dan ibu.Tapi suami?
“Suami selalunya di belakang tabir, buat kerja tanpa disedari. Bila semua tidur, dia masih terjaga. Bila semua berehat, dia cari ruang untuk berbakti. Malam-malam, dia lipat baju. Bukan sebab dia nak tunjuk rajin, tapi sebab dia tahu esok isteri sibuk,” katanya.
Katanya, sebagai lelaki mungkin tidak meminta penghargaan khusus, tetapi ucapan terima kasih itu sudah memadai.
“Dia mungkin tak meminta penghargaan, tapi sesekali kata terima kasih itu cukup buat jiwanya berbunga.
“Dia mungkin tak minta kau sujud di kakinya, tapi dia akan gembira kalau kau taat dengan hatimu. Bila dia suruh sesuatu yang baik, ikutlah.
“Bila dia minta rehat, biarlah. Jangan sampai dia rasa, semua yang dia buat tak pernah cukup di mata isteri,” katanya.