Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Sabtu lalu, seorang individu membuat laporan polis susulan menerima ugutan daripada kumpulan boikot yang sedang berkempen berdekatan McDonald’s Sungai Isap.
Menurut pengadu, kumpulan berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat, melakukan provokasi dan mengugut mahu memukulnya menggunakan helmet kerana pengadu makan di restoran makanan segera itu, yang sedang diboikot sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan lima suspek termasuk seorang anggota tentera yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.
Semakan lanjut mendapati dua daripada lima suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Taasub & Kedengkian
Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd, menyifatkan tindakan secara berlebihan memboikot mana-mana restoran atau premis sebagai taasub dan dengki sehingga boleh merosakkan agama serta akhlak.
Beliau berkata, prinsip tindakan boikot terhadap mana-mana premis yang didapati melakukan penghinaan terhadap agama Islam atau umatnya boleh dianggap wajar.
Namun, tindakan itu harus dilakukan hanya sekadar diperlukan sahaja atau secara sederhana sebagai menunjukkan tanda protes.
“Boikot yang melampau tidak patut digalakkan kerana ia mencerminkan sifat taasub dan kedengkian yang merosakkan agama dan akhlak.
“Agama Islam tidak suka umatnya bersikap ekstrim dan taksub walaupun atas nama agama. Sikap sedemikian lazimnya didorong oleh kejahilan serta fikiran tertutup golongan yang tidak boleh bertolak ansur terhadap orang lain, pihak lain yang berbeza pandangan dan kepercayaan dengannya,” katanya.