Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.
Menerusi satu kenyataan, BNM memaklumkan kadar tertinggi dan terendah koridor OPR masing-masing dikurangkan kepada 3% dan 2.5%.Langkah ini bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi negara dalam keadaan inflasi yang kekal sederhana.
“Penunjuk terkini menandakan pertumbuhan global yang berterusan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan dan sedikit sebanyak menerusi aktiviti yang dilakukan lebih awal (front-loading).
“Prospek pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal,” katanya.
BNM berkata, ekonomi global terus berkembang hasil daripada perbelanjaan pengguna yang kukuh dan keadaan pasaran pekerjaan yang baik. Namun begitu, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan boleh memberi kesan kepada pasaran kewangan dan harga komoditi.
Bagi Malaysia, ekonomi dijangka terus berkembang pada suku kedua tahun ini, disokong oleh permintaan domestik, pelaburan sektor swasta dan awam serta aktiviti eksport dan pelancongan. Walau bagaimanapun, terdapat risiko pertumbuhan perlahan akibat perdagangan global yang lemah dan sentimen ekonomi yang kurang memberangsangkan.
Inflasi kekal rendah setakat ini, dengan purata 1.4% untuk inflasi keseluruhan dan 1.9% bagi inflasi teras dalam lima bulan pertama 2025. Inflasi dijangka sederhana sepanjang tahun berikutan kos global yang terkawal dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negara.
Prestasi ringgit pula akan banyak dipengaruhi oleh faktor luar, namun pembaharuan dalam negeri serta pelaksanaan inisiatif ekonomi dijangka membantu menstabilkan mata wang.
Ekonomi terus berkembang
Penurunan OPR ini dilihat sebagai langkah awal untuk memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang dalam keadaan ketidaktentuan global. MPC akan terus memantau situasi semasa dan menilai semula dasar sekiranya perlu.

Bagaimanapun BNM berkata, ketidaktentuan berkaitan tarif dan ketegangan geopolitik dijangka memberi tekanan terhadap unjuran pertumbuhan serta meningkatkan ketaktentuan pasaran kewangan global dan harga komoditi.
Sumber: Bank Negara Malaysia








