Seorang bilal muda yang dikenali aktif dalam kegiatan masjid dan kemasyarakatan, Ahmad Haziq Jailani, 32, dilaporkan meninggal dunia sejurus selesai melaungkan azan Maghrib di Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang pada Ahad. Pemergiannya mengundang perhatian ramai selepas kisah tersebut tular di media sosial.
Perkongsian mengenai detik akhir Allahyarham mula mendapat perhatian apabila ramai pengguna media sosial berkongsi kenangan dan pengalaman sepanjang mengenali beliau yang disifatkan sebagai seorang yang sentiasa mengimarahkan rumah Allah serta aktif dalam pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan.
Menurut perkongsian yang dimuat naik di Facebook oleh Hubbun Nabiyy, Allahyarham bukan sahaja istiqamah menjalankan tugas sebagai bilal, malah aktif dalam program-program pemuda dan sentiasa hadir membantu dalam pelbagai gerak kerja jemaah serta tugasan sukarelawan. Pemergiannya selepas selesai melaungkan azan Maghrib turut mengundang rasa sebak dan keinsafan dalam kalangan mereka yang mengenalinya.
Baca juga:
- Bilal muda meninggal dunia selepas azan Maghrib, pemergian Ahmad Haziq undang sebak
- Pengeluaran tunai ATM tanpa Caj RM1 bermula 1 Julai
- RTM nafi Azlan Johar direhatkan sebagai pengulas kerana sertai PAS
Difahamkan, beliau meninggal dunia selepas dipercayai mengalami serangan jantung sejurus selesai melaungkan azan.
Allahyarham yang dilahirkan pada 8 Julai 1993 berkhidmat sebagai Bilal 2 di masjid berkenaan dan dikenali sebagai seorang yang komited dalam aktiviti dakwah, kebajikan serta pembangunan belia di kawasan setempat.
Satu lagi perkongsian dari Facebook MN Afzan Ab Wahab, dia berkata Allahyarham merupakan individu yang sentiasa mengingatkan orang lain kepada Allah sepanjang hayatnya.
“Almarhum dijemput Allah sejurus selesai melaungkan azan. Beliau mengakhiri hayatnya dalam keadaan melaksanakan satu ibadah yang mulia, menyeru manusia kepada solat, mengagungkan nama Allah dan mengajak manusia menuju kejayaan.
“Bahkan selepas pemergiannya, beliau terus mengingatkan kita tentang kehidupan yang sementara dan perjalanan menuju akhirat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Lebih menyentuh perasaan, Allahyarham meninggalkan seorang isteri serta anak yang masih kecil. Ramai berharap segala amal bakti dan pengorbanan yang ditinggalkan menjadi saham kebaikan yang berterusan buat dirinya di sisi Allah SWT.
Ruangan komen media sosial turut dibanjiri ucapan takziah dan doa daripada orang ramai yang berharap Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta dikurniakan syurga Firdaus atas segala jasa dan khidmatnya kepada agama dan masyarakat.









