Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Isu membabitkan pengusaha kantin dengan guru sekolah yang menjual makanan kepada pelajar yang tular baru-baru ini mengundang perhatian banyak pihak, termasuk Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Jazmi Hassan.
Menurut beliau, perkara itu sepatutnya boleh diselesaikan secara dalaman jika kedua-dua pihak berbincang dan mencari jalan penyelesaian bersama tanpa perlu tularkan di media sosial.
Hasil jualan kantin merosot
Menerusi penjelasan di ruangan komen hantaran di Facebook The Reporter hari ini, beliau berkata, pengusaha kantin terbabit telah lama bersabar apabila mengetahui guru menjual makanan kepada pelajar.
“Dalam kes ini, pengusaha kantin sekolah tersebut telah berkhidmat selama enam tahun dan selama ini bersabar dengan keadaan koperasi yang melakukan aktiviti jualan.
“Tetapi akhir-akhir ini, bila koperasi membuat jualan yang melampau dengan menjual apa yang dijual oleh pihak kantin, disamping makanan segera, ianya menyebabkan jualan kantin merosot.
“Ini menyebabkan pendapatan hasil jualan kantin tidak lagi mampu menampung bayaran kos sewa kantin, gaji pekerja dan juga kos barangan yang meningkat. Sebagai pengusaha, sudah pasti ini satu bebanan buat mereka.
“Segala aduan telah dimajukan kepada pentadbir sekolah, namun tidak diendahkan. Akhirnya bila sudah viral begini, keluar komen di media sosial seolah-olah pengusaha kantin yang bersalah atas faktor makanan tak sedap dan tidak menjaga kebersihan. Sedangkan sebelum ini isu itu tiada dibangkitkan,” jelasnya.
Tegur jika ada aduan & kesilapan
Tambahnya, pengusaha kantin kebiasaannya mendapat tender sekolah untuk tempoh dua tahun sahaja. Sekiranya pihak sekolah tidak berpuas hati dengan tahap perkhidmatan yang diberi, selepas tender tamat, pihak sekolah boleh memilih untuk tidak meneruskan dan mencari pengganti yang lain.
Begitu juga jika ada aduan daripada murid, pihak sekolah perlu memaklumkan pengusaha kantin untuk memperbaiki kualiti makanan. Dalam soal kebersihan, pengusaha kantin boleh dikenakan denda jika gagal menjaga kebersihan di premisnya.








