Operasi perniagaan di medan selera terganggu dek sikap tidak bertanggungjawab sekumpulan individu yang menceroboh ruang perniagaan untuk melakukan aktiviti zumba.
Menurut peniaga di Ujana Peremba, Nazri Khan berkata, teguran sudah diberi tetapi tidak diendahkan dan hal itu memaksa dia tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Malangnya, tiada sebarang tindakan dilakukan menyebabkan kumpulan tersebut berleluasa menggunakan kawasan medan selera untuk melakukan aktiviti tersebut tanpa menghiraukan keselesaan peniaga dan pelanggan.
“Ada tempat jogging bersebelahan dengan medan, tetapi ini berlaku ketika hujan. Mereka akan naik ke medan dan berzumba di atas ini, mengganggu pelanggan dengan bunyi bising. Meja kerusi kita dialihkan dan lantai kotor.
“Sudah buat aduan kepada pihak berwajib tetapi tiada tindakan. Bila kita buat banner melarang aktiviti zumba di sini, pegawai datang beri amaran dan minta turunkan banner,” katanya.
Jelas Nazri, para peniaga di medan itu bukanlah kejam tetapi meminta kumpulan itu menghormati mereka sebagai peniaga. Teguran juga pernah dibuat sebelum ini, malangnya tidak diendahkan.
“Tegur sudah, bergaduh pun sudah. Tetapi mereka sentiasa jual nama Datuk Bandar. Kita kena cari jalan penyelesaian lain. Selagi tak ada papan tanda larangan berzumba. Tegur pun tak akan dilayan.
“Bila mereka petik nama Datuk Bandar, kita buat aduan kepada PBT. Tetapi PBT menyepi,” katanya.
Justeru, Nazri berharap dengan penularan video bukti di TikTok itu dapat menarik perhatian pihak berwajib tampil membantu mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut.