'Bila dapat bil RM1,377, dia tuduh kita ambil kesempatan' - Owner restoran kesal dituduh menipu oleh ahli politik? | The Reporter

‘Bila dapat bil RM1,377, dia tuduh kita ambil kesempatan’ – Owner restoran kesal dituduh menipu oleh ahli politik?

Seorang pemilik restoran makanan laut di Mukah, Sarawak, meluahkan rasa kesal dengan tindakan seorang individu yang dipercayai pemimpin parti politik di Perak.

Lelaki tersebut didakwa merungut tentang bil yang dikenakan, selepas membawa seramai 40 orang (dipercayai kontinjen sukan) menjamu selera di restorannya.

Menurut hantaran yang dikongsikan oleh Mei Mey di Facebook, ahli politik itu terkejut apabila diberikan bil berjumlah RM1,377.40. Walaupun telah diberikan diskaun sebanyak RM7, dia menganggap pemberian diskaun itu sebagai penghinaan terhadap dirinya.

“Nilai diskaun RM7 itu dianggap seperti menghinanya, dia sendiri yang kata begitu,” katanya.

Harga ditulis dalam buku menu

Tegas Mei Mey, harga setiap hidangan telah dinyatakan dengan jelas dalam buku menu. Malah harga setiap satu hidangan turut ditulis dalam bil.

“Yang membuatkan saya tak berapa nak berkenan bila dia tuduh kami menipu dan ambil kesempatan dengan mengenakan harga yang mahal.

“Kalau kami nak menipu, tak adanya harga ditulis dalam buku menu. Malah ditulis satu persatu harga setiap hidangan dalam bil. Buat apa kami nak ambil kesempatan? Tak adanya kami masak hari ini untuk mereka makan dan hari ini juga kami letak harga.

“Mereka juga pesan ikan yang bersaiz besar-besar belaka. Alasan tak nak bagi budak berebut makan. Takkan mereka tak tengok harga dulu sebelum buat pesanan?

“Selepas itu dia kata, “First and last saya makan kat sini, mahal”. Kami pun berharap tak bertemu dengan pelanggan haji bakhil seperti ini. Menunjuk macam dia saja yang berduit, tetapi rupanya kedekut. Apa pun, terima kasih sebab bayar penuh, Alhamdulillah,” ujarnya.

Pentingnya beradab

Justeru, Mei Mey berharap kejadian seumpama ini tidak lagi berlaku di masa akan datang. Malah mengharapkan lelaki itu tidak menjadi wakil rakyat di masa akan datang.

“Kalau awak nak belanja orang makan, jangan awak nak berkira. Lagi-lagi awak tu antara Yang Berhormat. Kami ini rakyat biasa pun, bila datang tempat orang tak ada nak berbunyi macam awak tu, YB.

“Malu berdepan dengan orang yang kita sangka tinggi darjat dan pendidikan, bercakap pula seperti itu. Betul lah ada pepatah mengatakan, belajarlah tinggi mana pun, adab adalah perkara pertama yang kita kena ada.

“Saya berharap dia tidak menjadi pemimpin, sebab dia tidak layak dan tidak beradab,” tambah Mei Mey.

Related Posts