Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Presiden Joe Biden mengumumkan bantuan kewangan sebanyak $770 (RM3,465) untuk setiap individu yang terjejas akibat kebakaran di Los Angeles, California. Bantuan ini bertujuan membantu mangsa membeli barang keperluan segera seperti makanan, air, dan pakaian.
Dalam ucapan di White House, Biden berkata, “Kami akan membantu mangsa dengan segera, tanpa perlu menunggu kebakaran ini berakhir. Mereka perlukan bantuan untuk keperluan asas seperti air, susu bayi, dan ubat-ubatan.”
Sehingga kini, hampir 6,000 orang telah mendaftar untuk program ini, dengan jumlah keseluruhan $5.1 juta (RM22.95 juta) telah disalurkan melalui program bantuan khas Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA).
Selain bantuan kewangan, Biden juga mengesahkan kerajaan persekutuan akan menanggung semua kos operasi memadam kebakaran di California selama 180 hari. Langkah ini membolehkan kerajaan negeri dan tempatan fokus sepenuhnya pada usaha memadamkan api.
Setakat ini, pemadaman kebakaran di beberapa kawasan menunjukkan kemajuan dengan 14% di Pacific Palisades, 33% di Pasadena, dan 100% di Ventura.
Dalam masa yang sama, Biden dan Gabenor California, Gavin Newsom, berhadapan kritikan daripada bekas Presiden Donald Trump. Trump mendesak Newsom untuk meletak jawatan, manakala Newsom risau Trump mungkin menyekat bantuan bencana selepas memulakan pentadbirannya. – Agensi