Seorang lelaki meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengenakan saman terhadapnya yang berniaga di rumahnya sendiri.
Difahamkan, pengadu mengambil keputusan untuk berniaga di hadapan rumah sendiri untuk mencari rezeki tambahan bersempena penganjuran Himpunan RX-Z Member 5.0 pada hari kejadian.
Menurut pengadu, empat khemah yang dipasang di tepi jalan langsung tidak mengganggu jalan utama. Malah, PBT yang pada awalnya datang juga tidak menghalang mereka berbuat demikian.
“Berpakat empat kanopi anak beranak cuba niaga dua hari masa RXZ members. Cuba cari rezeki setahun sekali di depan rumah sendiri.
“Tapi tiada budi bicara dan tolak ansur dari pihak PBT. Tuan rumah berniaga rapat pagar rumah sendiri pun kena saman. Kami ikut arahan awal, tidak dibenarkan berniaga di tepi jalan. Kami menuruti arahan itu dan berniaga hampir 50 kaki daripada jalan dan rapat pagar tuan rumah.
“Mula-mula beritahu tak apa, boleh niaga. Tetapi kali kedua datang, tetap kena saman. Yang lagi tak masuk akal, tuan rumah sendiri pun kena saman (kanopi merah),” katanya.
Pengadu faham PBT hanya menjalankan tanggungjawab tetapi sekurang-kurangnya tunjukkan belas kasihan atau budi bicara sebelum mengeluarkan saman.
“Betul peraturan tetap peraturan. Tetapi tiada belas kasihan dan budi bicara ke? Kanopi jauh daripada jalan dan tidak mengganggu lalu lintas.
“Saman kena empat keping. Niaga air dua hari, 50 gelas tak habis,” katanya.
Hantaran dipadamkan, banyak komen negatif
Bagaimanapun, luahan yang dikongsikan melalui hantaran di Facebook itu telah dipadamkan kerana pengadu berkata dia tiada niat mahu menularkan perkara itu.
“Maaf terpaksa delete post sebelum ini, tiada niat nak viralkan. Hanya meluah perasaan kecewa sahaja. Tapi bila viral begini, ramai yang komen tak elok.
“Setakat ini sahaja kes ini, yang lain-lain biarkan kami selesaikan sendiri. Terima kasih,” katanya.
Sumber: Facebook