Berjaya Food rugi RM33.68 juta, hampir 50 cawangan Starbucks ditutup sementara | The Reporter

Berjaya Food rugi RM33.68 juta, hampir 50 cawangan Starbucks ditutup sementara

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Berjaya Food Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM33.68 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2024, berbanding keuntungan bersih RM19.03 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu. Pendapatan kumpulan itu turut merosot lebih separuh kepada RM124.19 juta daripada RM278.53 juta.

Kerugian ini disebabkan oleh kesan berpanjangan daripada gerakan boikot anti-Israel yang terus memberi tekanan kepada operasi Starbucks di Malaysia.

Menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia, tiada dividen diisytiharkan untuk suku tersebut.

Dalam tempoh ini, jumlah cawangan Starbucks yang ditutup sementara meningkat kepada hampir 50, berbanding hanya 25 pada suku keempat tahun kewangan 2024. Penutupan ini berlaku susulan pemulihan jualan yang lemah di tengah-tengah situasi boikot berterusan.

Nota penyelidikan CIMB Securities menyatakan, penutupan sementara ini menyumbang kepada penurunan pendapatan Berjaya Food sebanyak 55.4%. Selain itu, perang promosi harga turut memberi tekanan kepada margin EBITDA kumpulan, yang menyusut kepada 8.1% pada tempoh yang sama.

“Pihak pengurusan menjelaskan bahawa sebarang penutupan cawangan tambahan, sama ada sementara atau kekal, akan dinilai secara berkala,” menurut laporan tersebut.

Setakat akhir suku pertama, jumlah keseluruhan cawangan Starbucks kekal pada 408, manakala Kenny Rogers Roasters (KRR) menyaksikan penutupan bersih sebanyak enam cawangan, menjadikan baki 54 restoran di bawah rangkaian tersebut.

CIMB Securities turut menjangkakan prestasi lebih baik pada suku kedua tahun kewangan 2025, dipacu oleh musim perayaan akhir tahun. Namun, kerugian dijangka terus berkurangan secara perlahan dengan peningkatan operasi dan jualan.

Selain Starbucks, Berjaya Food turut mengendalikan rangkaian Kenny Rogers Roasters di Malaysia dan jenama kafe Paris Baguette di Malaysia serta Filipina. Pelantikan Brian Niccol sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks Corp pada September lalu dijangka memberi kesan kepada operasi kumpulan bermula separuh kedua tahun kewangan 2025.

Sumber: Berita Harian

Related Posts