Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Berjaya Food Bhd (BFood) dilaporkan mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM87.34 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 berbanding keuntungan sebelum cukai RM148.73 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Hasil sebanyak RM730.3 juta diperoleh berbanding RM1.12 billion pada tahun kewangan sebelumnya.
Bagi suku keempat tahun kewangan dikaji, BFood mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM42.69 juta berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM29.04 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Hasil dalam suku dikaji juga mencatatkan penurunan kepada RM130.57 juta daripada RM271.75 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Konflik Asia Barat
Situasi ini berlaku disebabkan oleh sentimen semasa berhubung konflik Asia Barat.
Kemerosotan dalam hasil dan kerugian sebelum cukai pada tahun kewangan dikaji adalah disebabkan terutamanya oleh sebab yang dinyatakan di atas dan kerugian sekali sahaja yang timbul daripada pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti kumpulan dalam Jollibean Foods Pte Ltd.
Tidak termasuk perbelanjaan luar biasa berkaitan pelaburan, kerugian sebelum cukai adalah RM76.84 juta berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM148.73 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Tidak syorkan sebarang dividen
Dalam pada itu, Lembaga Pengarah tidak mengesyorkan sebarang dividen untuk suku semasa dalam tinjaun dan mengakui keadaan pasaran yang mencabar serta tekanan luaran yang menjejaskan prestasi perniagaan kumpulan.
Bagaimanapun, pihak BFood dalam satu kenyataan menyatakan tetap optimis dengan berhati-hati menjangkakan peningkatan beransur-ansur dalam prestasi operasi sepanjang tahun kewangan akan datang.
“Walaupun pemulihan mungkin perlahan disebabkan ketidaktentuan semasa yang berterusan, Lembaga Pengarah percaya bahawa pelarasan strategik dan penambahbaikan operasi akan, pada masanya, mengukuhkan kedudukan kumpulan dan membawa kepada keputusan kewangan yang lebih baik,” katanya.
Sumber: Bernama








