Beri alasan hadiri mesyuarat yang tak diundang, 3 pengamal media tempatan ditahan ceroboh kediaman MB Selangor - The Reporter

Beri alasan hadiri mesyuarat yang tak diundang, 3 pengamal media tempatan ditahan ceroboh kediaman MB Selangor

Sumber gambar: Jason Update

Tular satu video memaparkan tiga lelaki yang dipercayai merupakan pegamal media sebuah syarikat tempatan didakwa telah menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata ketiga-tiga lelaki berusia 31 hingga 35 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam semalam.

Terdahulu, pihaknya telah menerima laporan berhubung pencerobohan tersebut kira-kira pukul 6.10 petang daripada pembantu operasi di kediaman rasmi MB Selangor.

Siasatan mendapati kesemua suspek menggunakan kereta Proton Waja untuk memasuki kediaman berkenaan melalui Pondok Pos Pengawal utama tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada pihak kerajaan negeri.

“Ketiga-tiga suspek memberi alasan untuk menghadiri satu mesyuarat yang diadakan di kediaman rasmi MB Selangor tetapi tidak mempunyai jemputan secara rasmi daripada pihak MB Selangor.

“Semakan mendapati mereka bekerja sebagai pengamal media di sebuah media tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Ketiga-tiga suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda yang boleh sampai RM 1,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kejadian seperti ini.

Sumber: Kosmo Online

Tak nak ketinggalan berita terkini? Sertai kami di Facebook, Instagram, X (Twitter), Telegram, WhatsApp dan Threads!

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!