Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan pemimpin agar berhenti menjadi ‘badut’ yang mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R) sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat.
“Biarkan ‘pentas’ ini terus tenang, tanpa ‘drama’ yang menyakitkan. ‘Berdialoglah’ guna akal dan hati, bukannya ‘bermonolog’ guna nista dan benci,” titah baginda.
Memetik laporan dari Pahang Media, baginda juga menyambut baik kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini yang menekankan bahawa pemimpin bertanggungjawab menjadi pendamai, bukan pencetus perbalahan.
Baginda turut bertitah, sejarah telah membuktikan pertelingkahan kaum dan agama jika tidak dibendung dengan bijaksana mampu membawa malapetaka.
“Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan kebijaksanaan.
“Maka, saya menyeru kepada semua pemimpin, khususnya pemimpin-pemimpin politik, agar bertindak sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat, bukannya mencetus api yang membakar hubungan harmoni yang telah lama terbina,” titahnya lagi.
Pertahankan kesucian agama
Baginda turut menyeru kepada semua pihak agar mempertahankan kesucian agama dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
“Sebagai ketua dan pelindung agama Islam di negeri ini, saya menyeru setiap Muslim memainkan peranan mempertahankan kesucian agama ini dengan hikmah dan kebijaksanaan.
“Janganlah kita berdiam diri apabila agama kita dihina. Jangan kita cepat melatah dan membuat spekulasi. Hormatilah antara satu sama lain, jagalah sensitiviti antara agama dan kepercayaan.
“Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama,” titah Al-Sultan Abdullah.








