Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada ibu kepada Allahyarhamah Zara, mangsa tragedi yang mendapat perhatian seluruh negara.
Menurut beliau, dua minggu lalu, beliau terbang ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur untuk bertemu ibu Zara, namun pada ketika itu keluarga masih belum bersedia menerima kunjungan.
“Saya tidak memaksa, tetapi syukur hari ini saya diberi ruang untuk menyampaikan takziah kepadanya secara bersemuka. Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya pergi tak kembali,” katanya.
Nurul Izzah berkata, sebagai seorang ibu, beliau memahami kesedihan yang ditanggung oleh keluarga berkenaan yang hanya mahu melihat anak mereka membesar dengan sihat dan ceria.
Baca juga:
- Rosol Wahid tidak akan buat rayuan penggantungan BERSATU
- Ucapan anak Allahyarham Dr Aiman sentuh hati ramai
- PN ucap tahniah kepada Vijay, puji kemenangan TVK di Tamil Nadu
Menggambarkan Zara sebagai anak yang sopan, berakhlak mulia dan berpegang teguh pada ajaran agama, beliau berkata pemergian remaja itu telah menyatukan masyarakat tanpa mengira perbezaan.
“Saya tidak akan berhenti memperjuangkan sehingga orang yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita,” tegasnya.
Beliau memaklumkan akan terus mengikuti rapat perkembangan siasatan menerusi pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Peguam Negara.
“Setiap anak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman. Ini tanggungjawab kita bersama untuk melindungi dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang,” ujarnya.
Nurul Izzah turut mengajak orang ramai untuk terus berdoa, berusaha dan bertawakal agar keadilan dapat ditegakkan serta roh Allahyarhamah Zara ditempatkan dalam kalangan orang beriman.









