Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menjadi tumpuan ramai gara-gara perubahan susuk tubuhnya yang dilihat semakin kurus ketika hadir ke Mahkamah Tinggi.
Difahamkan, berat badan wanita berusia 31 tahun ini mencecah 150 kilogram (kg) ketika mula menjejakkan kaki ke tirai besi 3 Mei lalu. Namun kini merosot kepada 90kg.
Siti Bainun yang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang atas tuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down mengalami penurunan berat badan sebanyak 60 kilogram dalam masa enam bulan.
Dia yang hadir dengan memakai jubah merah jambu, dibawa ke mahkamah dengan diiringi anggota penjara. Siti Bainun kelihatan tenang ketika disapa ahli keluarga dan rakan-rakannya yang memakai baju serba putih.
Tangguh prosiding rayuan hukuman, sabitan
Semasa prosiding, Hakim Datuk Noorin Badaruddin menangguhkan prosiding rayuan hukuman serta sabitan dan menetapkan 7 Disember depan untuk pengurusan kes. Sementara 30 Januari tahun depan untuk perbicaraan kes berkenaan.
Ia selepas peguam, Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun selaku pemohon, memaklumkan nota keterangan daripada saksi pembelaan kelapan, pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai.
“Kami telah menerima dokumen kes ini, namun terdapat beberapa nota keterangan tidak dilampirkan.
“Justeru itu, pihak pembelaan memohon prosiding pendengaran ini ditangguhkan dan mohon satu tarikh lain bagi pengurusan kes seterusnya,” kata peguam itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad tidak membantah permohonan penangguhan.
Pada 23 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian.
Siti Bainun kemudiannya diarah menjalani hukuman penjara serta-merta selepas Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman ke Penjara Kajang, pada 3 Mei lepas.
Terdahulu, Siti Bainun didapati bersalah melakukan perbuatan itu ke atas Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Turut diperintah menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Tertuduh juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Sumber: Sinar Harian