Bekas tentera jadi warden sepenuh masa semua MRSM mulai 2027 | The Reporter

Bekas tentera jadi warden sepenuh masa semua MRSM mulai 2027

Bekas tentera bakal dilantik sebagai warden sepenuh masa di semua MRSM mulai 2027.
Gambar: Facebook Dr Asyraf Wajdi

Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melantik bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara bermula 1 Januari 2027.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu diambil bagi memperkukuh aspek disiplin dan keselamatan pelajar, selain membantu mengurangkan kejadian buli serta beban tugas guru.

Menurutnya, keputusan Majlis MARA itu dibuat selepas meneliti hasil Kajian Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.

Kajian diketuai Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman itu antara lain mendapati warden dalam kalangan bekas tentera berkesan dalam mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama.

Maklum balas positif

Selain mendapat penerimaan positif daripada pelajar, ibu bapa dan pentadbir, kehadiran warden secara lebih kerap dan sistematik turut didapati mampu mengecilkan ruang berlakunya kejadian buli serta vandalisme.

Asyraf Wajdi berkata, pelajar juga berasa lebih selamat dan menunjukkan tahap disiplin lebih baik termasuk dalam aspek pematuhan waktu, kekemasan diri dan asrama serta penerapan nilai hormat dan adab.

“Hasil dapatan juga menunjukkan penurunan drastik isu-isu yang terkait dengan masalah disiplin pelajar, malah masalah buli sepanjang keberadaan warden ini hampir sifar,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, hasil positif kajian itu turut mendorong MARA melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di 10 MRSM sejak Julai lalu.

Katanya, pelaksanaan setakat ini menunjukkan perkembangan positif apabila kes disiplin dilaporkan menurun secara drastik di semua MRSM yang terlibat.

Baca juga:
Modul latihan

Dalam pada itu, UPM turut diminta bekerjasama menyediakan modul latihan kepada warden baharu, selain melanjutkan kajian bagi mencari pendekatan lebih menyeluruh untuk menangani isu buli mental.

Asyraf Wajdi berkata, inisiatif berkenaan pada asalnya digerakkan susulan aduan diterima daripada guru MRSM mengenai tugas tambahan sebagai warden yang perlu dilaksanakan bersama tanggungjawab hakiki sebagai pendidik.

Menurutnya, dengan elaun RM300, tanggungjawab tambahan itu dilihat tidak sepadan dengan beban yang perlu digalas, selain guru secara realistik tidak mampu melakukan rondaan sepanjang masa terutama pada lewat malam dan awal pagi.

Katanya, kejadian buli dan penderaan juga lazimnya berisiko berlaku pada waktu berkenaan, sekali gus memerlukan pemantauan lebih menyeluruh di kawasan asrama.

Justeru, pelantikan bekas anggota tentera yang bersara pada usia masih produktif seperti lingkungan 40-an sebagai warden sepenuh masa diharap dapat membantu meningkatkan disiplin pelajar, di samping membuka peluang kerjaya kepada golongan berkenaan.

Related Posts