Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang bekas guru besar sebuah sekolah rendah di Melaka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memeluk dan mencium seorang bekas guru pelatih wanita tahun lalu.
Memetik Kosmo, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap guru pelatih berkenaan dengan cara memeluk dan mencium pipi mangsa di dalam tandas kelas prasekolah di sebuah sekolah.
Kesalahan berkenaan bukan kali pertama dilakukan, malah tertuduh juga melakukan perbuatan sama, memeluk dan mencium dahi mangsa di lokasi berasingan iaitu di dalam sebuah kereta hadapan sebuah premis kira-kira pukul 11 malam pada 18 Januari dan 30 Julai 2024.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri dan tertuduh diwakili Peguam Datuk Hanif Hassan.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM7,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes.








