Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun meluahkan rasa sedih dan kecewa selepas melihat video tular memaparkan suasana program malam terakhir Minggu Suai Kenal pelajar baharu sebuah universiti yang didakwa berubah menjadi seperti konsert. Beliau mempersoalkan sama ada itu bentuk pengenalan yang wajar diberikan kepada mahasiswa baharu ketika mereka memulakan langkah dalam dunia universiti.
Menurutnya, Minggu Suai Kenal sepatutnya menjadi ruang untuk membentuk jiwa mahasiswa dengan nilai adab, disiplin, amanah, kematangan, kecintaan terhadap ilmu serta tanggungjawab sebagai bakal pemimpin negara. Namun, beliau mendakwa suasana pada malam tersebut menimbulkan kebimbangan apabila sebahagian pelajar mula bangun, melompat, menyanyi serta berlaku percampuran lelaki dan perempuan tanpa kawalan sewajarnya.
“Anak-anak yang baru sahaja melafazkan ikrar, baru memulakan langkah sebagai mahasiswa, akhirnya dihidangkan dengan suasana konsert yang sangat membimbangkan,” katanya.
Ustazah Asma’ berkata, beliau bukan berniat mencari kesalahan, sebaliknya berkongsi pandangan sebagai seorang ibu yang mengharapkan universiti menjadi tempat membentuk insan berwibawa, bukan sekadar melahirkan graduan. Beliau turut menceritakan bahawa anaknya yang turut berada dalam program berkenaan memaklumkan acara bermula dengan baik menerusi persembahan pelajar, ucapan pihak universiti dan bacaan ikrar mahasiswa sebelum keadaan berubah selepas jam 11 malam ketika persembahan konsert berlangsung.
Katanya, anaknya mengambil keputusan untuk meninggalkan program tersebut selepas berasa tidak selesa dengan perubahan suasana. Beliau bersyukur apabila anaknya memilih untuk menjaga prinsip diri, malah turut menghargai nasihat seorang pelajar senior yang mengingatkan mahasiswa supaya berani beredar jika berada dalam program yang tidak selari dengan nilai yang dipegang.
Baca juga:
- Anthony Loke arah JPJ saman petugas kempen PRN Johor tak pakai topi keledar
- Berang dibaling ais, pelajar Tingkatan 1 kejar rakan dengan pisau pemotong kertas
- ‘Beginikah anak-anak kami diperkenalkan kepada dunia universiti?’ – Ustazah Asma’
Persoal tindakan universiti
Beliau menegaskan isu utama bukan mengenai seseorang pelajar akan berubah hanya kerana menghadiri satu program hiburan, tetapi persoalan mengapa institusi ilmu perlu menyediakan hiburan sedemikian. Menurutnya, universiti sepatutnya memberi tumpuan kepada pembangunan ilmu, pembentukan adab, pemikiran kritis, kepimpinan dan jati diri mahasiswa, sedangkan hiburan sudah mudah diperoleh melalui pelbagai platform lain.
“Saya tidak pernah mengatakan seorang anak akan rosak hanya kerana menghadiri satu program. Isu lebih utama ialah, mengapa sebuah institusi ilmu yang tertinggi perlu menyediakan hiburan seperti ini?
“Ini agak pelik, apa keperluan dan apa kebaikannya? Hari ini, di hujung jari anak-anak kita sudah tersedia terlalu banyak hiburan. Kalau mereka mahu mencari hiburan, mereka boleh mencarinya sendiri,” jelasya.
Teguran kepada pihak penganjur
Dalam pada itu, Ustazah Asma’ menyeru pihak universiti dan penganjur supaya menilai semula bentuk program sebegini agar lebih bersesuaian dengan imej institusi pendidikan tinggi. Beliau berkata, hiburan tidak semestinya ditolak, namun perlu mempunyai batas dan mengambil kira nilai agama serta maruah institusi. Katanya, mahasiswa baharu merupakan amanah ibu bapa dan Allah SWT yang perlu dibimbing dengan ilmu, akhlak serta tanggungjawab.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan majlis penutup orientasi pelajar baharu di sebuah universiti yang didakwa diserikan dengan persembahan konsert hiburan sehingga mencetuskan perdebatan dan kecaman dalam kalangan netizen.









