Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menegaskan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang bermula 15 April bukan lesen untuk penjawat awam mengambil mudah tanggungjawab, sebaliknya menuntut tahap disiplin dan produktiviti sama seperti bekerja di pejabat.
Memetik laporan Sinar Harian, beliau menekankan BDR perlu dilaksanakan mengikut peraturan ketat dengan pemantauan ketua jabatan.
“Jangan salah faham, BDR bukan bermaksud baring, duduk rehat atau membeli-belah. Output dan produktiviti mesti sama kerana pegawai perlu mempunyai KPI jelas dan ditetapkan lebih awal,” katanya.
Shamsul Azri berkata, dasar ini sebahagian daripada reformasi perkhidmatan awam yang menekankan pencapaian hasil kerja, bukan sekadar kehadiran fizikal.
Penjawat awam juga diingatkan agar sentiasa berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada raja dan negara dan melaksanakan tugas untuk kesejahteraan rakyat tanpa dipengaruhi kepentingan peribadi atau politik sempit.
Baca juga:
- ‘Boleh tak lepas ni cikgu pakai handsock?’ – Murid Tingkatan Dua tegur melalui surat
- Mama Imani terima sumbangan RM30,000, dijanjikan rumah
- ‘Pelik juga kalau sempat tambah perabot baharu sebelum serahkan kunci’ – Fadhli
Beliau menegaskan bahawa kegagalan mematuhi dasar kerajaan boleh memberi impak langsung kepada rakyat, termasuk kelewatan bantuan, kemudahan tidak diselenggara, dan keselamatan terjejas.
Selain itu, Shamsul Azri menyeru langkah penjimatan di semua peringkat, termasuk mengurangkan penggunaan elektrik, mesyuarat fizikal dan lawatan luar negara yang tidak perlu, dengan mesyuarat digalakkan secara dalam talian.








