Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Peningkatan trend membeli-belah secara online memberi kesan ketara kepada suasana Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), yang sebelum ini sinonim dengan kemeriahan menjelang Syawal. Walaupun minggu terakhir Ramadan sepatutnya menjadi waktu kemuncak jualan, suasana di bazar itu kini jauh lebih suram berbanding tahun-tahun lalu.
Ramai pengguna kini lebih selesa membeli pakaian, kuih raya dan kelengkapan Aidilfitri melalui platform e-dagang yang menawarkan pelbagai promosi, pilihan meluas serta kemudahan penghantaran terus ke rumah. Ini secara langsung menjadikan bazar fizikal seperti Jalan TAR semakin terpinggir.
Menurut tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati, suasana bazar agak lengang pada waktu pagi dan tengah hari, malah hujung minggu sekalipun tidak menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah pengunjung. Walaupun masih ada pembeli pada waktu malam, trafik pelanggan keseluruhannya tidak mencerminkan sambutan seperti dahulu.
Keadaan ini turut dipengaruhi oleh kelewatan pembayaran gaji, komitmen kewangan lain seperti persediaan sekolah dan puasa, serta cuaca yang tidak menentu. Namun, kesan paling ketara dilihat datang daripada peralihan gaya hidup pengguna yang semakin cenderung kepada pembelian digital.
- ‘Saya nak brek, tapi tertekan pedal minyak’ – Pemandu cuai langgar 20 murid sekolah
- Enggan tukar tempat duduk tepi tingkap dengan budak, wanita fail saman selepas video tular
- Imigresen serbu restoran popular, 101 pekerja asing ditahan kerana kerja tanpa permit
- Lelaki maut dalam kebakaran unit kondominium di Mont Kiara
- ‘Tiada seorang pun datang merungut’ – Neelofa & PU Riz jawab isu caj kelas agama RM850
Peniaga yang beroperasi lebih satu dekad di lokasi itu turut mengakui jualan tahun ini jauh lebih perlahan. Ada yang menyifatkan hanya sebilangan kecil pengunjung benar-benar membeli, manakala selebihnya sekadar ‘melihat-lihat’ sebelum membuat perbandingan harga secara online.
Beberapa peniaga juga meluahkan kebimbangan terhadap susunan khemah ‘back to back’ yang menyukarkan aliran pengunjung dan menyempitkan pandangan terhadap produk jualan — namun isu fizikal ini hanya sebahagian kecil daripada cabaran sebenar yang mereka hadapi.
Dengan kecenderungan rakyat Malaysia kini semakin mengutamakan pembelian dalam talian, bazar fizikal perlu mencari pendekatan baharu untuk kekal relevan. Jika tidak, suasana suram yang melanda Jalan TAR tahun ini mungkin menjadi norma baharu dalam musim perayaan akan datang.








