Bayi dua bulan maut, ibu didenda RM2,000 kerana cuai | The Reporter

Bayi dua bulan maut, ibu didenda RM2,000 kerana cuai

Seorang wanita berbaju hitam memakai pelitup muka dibawa oleh anggota polis ke mahkamah selepas didakwa cuai sehingga menyebabkan bayi dua bulan maut.
Wanita warga Indonesia dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Parit atas pertuduhan cuai hingga menyebabkan bayi dua bulan maut. | Kredit gambar: Free Malaysia Today

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang wanita warga Indonesia, Dewinta Tefa, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit pada Isnin lalu selepas didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian anak bongsunya, Arkan Andre Soveral Asit, berusia dua bulan. Kejadian berlaku pada 18 September di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua, Kota Setia, Perak Tengah sekitar jam 5.30 pagi.

Menurut laporan Sinar Harian, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. Tertuduh yang juga ibu kepada enam anak mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Permohonan hukuman & rayuan peguam

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kecuaian yang meragut nyawa bayi tersebut walaupun tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Baca juga:

Namun, peguam bela Nurul Syuhada Mohd Yusof memohon agar hukuman paling minimum dikenakan. Beliau menjelaskan bahawa anak guamnya adalah suri rumah bergantung sepenuhnya kepada suami yang bekerja sebagai pekerja ladang sawit dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Hukuman & reaksi tertuduh

Majistret Nurul Izalina Rajaai kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000, dengan alternatif penjara enam bulan jika gagal membayar. Tertuduh dilihat sebak dan menangis ketika ditunjukkan gambar bayinya serta lokasi kejadian. Beliau bagaimanapun berjaya melunaskan denda tersebut.

Media sebelum ini melaporkan bayi berkenaan maut dipercayai akibat tertindih badan ibunya ketika tidur. Bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati punca kematian adalah otak membengkak serta paru-paru sembab akibat lemas udara. Polis turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

Related Posts