Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri, meninggal dunia pada pagi Jumaat, selepas dihantar ke sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah.
Terdahulu bapa mangsa, Mejar Ir. Ts, Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, berkata isterinya menerima panggilan dari pihak taska yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri dan wajahnya kebiruan. Mohd. Fikry yang bertugas di Kem Perdana Sungai Besi, terus bergegas pulang ke Melaka.
Semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian berlaku pada jam 8 pagi, selepas sejam Al Fateh dihantar ke taska, seorang pengasuh telah menyumbat mulut anaknya dengan botol susu, ditutup dengan kain sebelum ditekup dengan bantal.
“Dia bedung anak saya, sumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup dengan bantal. Saya syak suspek bedung anak saya kerana dia lasak (baru belajar merangkak) dan memudahkan kerja dia untuk beri susu kerana Al Fateh belum pandai minum sendiri, kena dipegang botol susu,” katanya.
Suspek berusia 34 tahun itu pada awalnya enggan mengaku, sehinggalah Mohd. Fikry bersama dengan pihak polis memeriksa rakaman CCTV.
Mohd. Fikry bagaikan tidak percaya suspek sanggup berbuat demikian, sedangkan mereka baru saja menghantar Al Fateh ke taska tersebut sejak lima hari lalu. Sebelum ini, Al Fateh dijaga oleh ibunya sendiri yang mengambil cuti tanpa gaji selama setahun.
Difahamkan, pasangan ini telah lama menunggu kehadiran cahaya mata sejak 13 tahun lalu dan tidak menyangka kejadian tidak diingini ini berlaku pada anak mereka.
Siasatan lanjut kemudian mendapati, taska tersebut beroperasi tanpa lesen sejak empat tahun lalu.
Sumber: Kosmo! Online