Bayi lelaki ditemui hidup dalam besen sampah, lelaki 44 & remaja 14 tahun ditahan | The Reporter

Bayi lelaki ditemui hidup dalam besen sampah, lelaki 44 & remaja 14 tahun ditahan

Penemuan bayi dalam besen sampah

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Tular di media sosial mengenai penemuan seorang bayi lelaki yang masih hidup di dalam sebuah besen sampah di kawasan lot kedai di Jalan Tong Sang, Sibu. Bayi yang cukup sifat dan dipercayai baru dilahirkan kurang 24 jam itu ditemui oleh orang awam sekitar pukul 8 pagi, Selasa.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili mengesahkan pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki melalui talian MERS 999 pada pukul 8.30 pagi, yang memaklumkan mengenai penemuan bayi berkenaan.

Bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Pemeriksaan oleh doktor kecemasan mendapati bayi itu berada dalam keadaan normal tanpa sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan stabil.

Susulan penemuan itu, polis telah menahan dua individu iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Zulkipli memaklumkan, penahanan kedua-dua suspek membolehkan pihaknya menyelesaikan kes penemuan bayi tersebut. Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dijangka dilakukan pada hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk membuang bayi, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama

Related Posts