Seorang bayi yang baru dilahirkan ditemui di dalam semak berhampiran Surau Al-Khairiah, Kampung Permatang, Manjung, Perak, petang semalam.
Kejadian itu disedari penduduk kampung yang terdengar suara tangisan mencurigakan dari arah kawasan semak tersebut.
Menurut seorang penduduk, Pak Yeop, dia bersama Cik Rahim yang berada di kawasan surau terdengar bunyi seakan suara bayi.
“Pada mulanya kami sangka itu hanya suara anak anjing kerana kawasan tersebut sering menjadi tempat anjing liar berkeliaran. Tetapi setelah mendengar dengan lebih jelas, kami yakin bunyi itu datang dari seorang bayi,” katanya.
Mereka segera memanggil seorang penduduk lain, Ustaz Sobri, yang kebetulan berada di kawasan berhampiran. Ustaz Sobri yang berkongsi pengalaman di laman Facebook miliknya berkata, dia pada mulanya berasa ragu-ragu, tetapi terkejut apabila mendapati seorang bayi terbiar di dalam semak tersebut.
“Kaki dan tangan saya terus menggigil melihat keadaan bayi itu. Tak sangka ada orang sanggup membuang bayi seperti ini,” tulisnya.
Bayi itu ditemukan dalam keadaan masih bernyawa dan dipercayai baru sahaja dilahirkan sebelum dibuang. Pihak polis serta ambulans segera dihubungi untuk tindakan lanjut. Bayi tersebut telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan pihak berkuasa. Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.








