Seorang bayi lelaki berusia 17 bulan dilaporkan maut, disyaki didera oleh teman lelaki kepada ibu mangsa.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan daripada Klinik Kesihatan Kampung Raja pada Rabu mengenai mangsa yang telah meninggal dunia di premis berkenaan.
Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati, terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan bayi berkenaan.
Ekoran itu, polis telah menahan ibu mangsa berusia 27 tahun untuk membantu siasatan. Selain itu, polis sedang menggesan seorang lelaki yang merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa.
Difahamkan sebelum kejadian, mangsa diserahkan oleh ibunya kepada lelaki terbabit untuk dijaga pada jam 4 petang, Selasa, 7 November.
Keesokkan harinya, mangsa dihantar semula kepada ibu tunggal berkenaan pada jam 7.30 pagi.
Laporan awal bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kebocoran usus kecil. Namun tidak dapat dikenal pasti punca kebocoran tersebut.
Kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Harian Metro








