Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang bayi berusia 9 bulan meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam kereta hampir 8 jam di Beeville, Texas, Amerika Syarikat.
Lapor Times of India, kejadian itu berlaku pada Rabu, apabila nenek bayi tersebut meninggalkan cucunya di dalam kereta pada pukul 8:30 pagi. Bayi itu kemudian ditemui kira-kira jam 4 petang oleh neneknya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi pihak polis.
Menurut Polis Beeville, bayi tersebut ditinggalkan di tempat duduk keselamatan kanak-kanak di bahagian belakang kereta. Kes sedang disiasat dan kematian mangsa dipercayai berpunca dari strok haba dan neneknya mungkin akan didakwa dengan tuduhan jenayah.
Ini adalah kematian ketiga yang direkodkan, akibat ditinggalkan dalam kereta di Texas pada tahun 2024 dan yang kedua dalam minggu ini. Sebelum ini, seorang kanak-kanak berusia 22 bulan meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam kereta di Corpus Christi.
Kes ini menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak dalam kereta dan mendorong panggilan untuk teknologi keselamatan yang lebih baik.
Beberapa pihak mencadangkan penggunaan teknologi pengesanan penghuni yang boleh mengesan pergerakan atau pernafasan dalam kereta, serta peringatan belakang yang boleh memberitahu pemilik kereta tentang kehadiran kanak-kanak di tempat duduk belakang.








