Bayi 8 bulan cedera digigit kanak-kanak lain, ibu kesal pusat jagaan cuba tutup kes? | The Reporter

Bayi 8 bulan cedera digigit kanak-kanak lain, ibu kesal pusat jagaan cuba tutup kes?

Bayi 8 bulan cedera digigit

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang bayi berusia 8 bulan mengalami kecederaan akibat digigit oleh seorang kanak-kanak berusia 2 tahun di sebuah pusat jagaan di Kuching, Sarawak.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Selasa, 7 Januari 2025, dan ibu bayi berkenaan pada awalnya dimaklumkan oleh pengurus pusat jagaan bahawa insiden itu tidak serius. Namun, selepas melihat kesan gigitan yang jelas pada tubuh anaknya, pengadu meluahkan rasa kecewa terhadap kecuaian pusat jagaan yang tidak menyedari kejadian itu lebih awal.

“Mereka kata anak saya tak menangis, sebab itu mereka tak perasan dia digigit. Bagaimana mereka boleh terlepas pandang kejadian seperti ini?” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Ibu bayi itu turut mempersoalkan tindakan pusat jagaan yang meletakkan kanak-kanak berlainan umur dalam satu kumpulan tanpa pemantauan kakitangan.

Bimbang dengan keadaan anaknya, pengadu segera membawa bayinya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan sebelum membuat laporan polis.

Pada 8 Januari 2025, pengadu kembali ke pusat jagaan untuk mengambil barang peribadi anak mereka. Namun, kecewa apabila ibu bapa kepada kanak-kanak yang menggigit bayinya enggan memohon maaf. Pihak pusat jagaan juga mendakwa kamera litar tertutup (CCTV) rosak, menyebabkan pengadu tidak dapat menunjukkan rakaman kejadian yang menimpa bayinya.

Lebih mengejutkan, pengadu turut mendakwa pengurus pusat jagaan cuba menyerahkan wang dalam sampul merah, dipercayai untuk menutup isu tersebut.

Selain itu, pengadu juga menemui kesan darah pada pakaian bayinya dan mengesyaki pakaian tersebut telah dicuci oleh kakitangan pusat jagaan itu dan perbuatan mereka itu menimbulkan rasa curiga.

Related Posts