Cadangan sistem berkala bagi elak pencarum kehabisan wang persaraan lebih awal
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan kini dalam peringkat kajian untuk memperkenalkan satu mekanisme baharu bagi pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu sistem pembayaran secara bulanan seakan pencen, demi memastikan simpanan tidak habis dalam tempoh singkat selepas persaraan.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pendekatan ini disasarkan kepada generasi pencarum baharu dan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan pilihan terbuka kepada pencarum sedia ada untuk menyertai jika bersetuju. Jelas beliau, cadangan ini masih dalam peringkat penelitian oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan KWSP sendiri dan belum lagi ditentukan bila ia akan dilaksanakan secara rasmi.
Baca juga:
- ‘Cadangan kembalikan Dara, Amoi, Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius’ – Arthur
- WWF-Malaysia ambil maklum kebimbangan orang ramai kebajikan tiga gajah
- GSF 2.0: Tiga delegasi Malaysia kembali ke tanah air selepas kapal rosak
Dua komponen baharu dalam caruman KWSP, sejajar RMK13
Perancangan ini turut terkandung dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), di mana caruman KWSP akan dipecahkan kepada dua bahagian: simpanan boleh keluarkan dan dana pencen yang akan diagihkan secara berkala bermula usia persaraan.
Langkah ini dilihat sebagai antara inisiatif jangka panjang bagi menyesuaikan sistem simpanan persaraan negara dengan peningkatan jangka hayat serta cabaran kos sara hidup yang semakin meruncing. Ia juga bertujuan mengukuhkan perlindungan sosial untuk semua pekerja termasuk dalam menghadapi risiko seperti kehilangan kerja atau kemalangan.
Unexplained Wealth Order (UWO) turut dikaji, belum dimuktamad
Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti cadangan pelaksanaan Unexplained Wealth Order (UWO), iaitu perintah untuk menuntut penjelasan sumber kekayaan yang meragukan.
Beliau menegaskan, semua dasar baharu seperti UWO perlu dinilai secara menyeluruh agar tidak memberi kesan negatif kepada ekonomi mahupun kebajikan rakyat. Penilaian rapi sedang dibuat bagi meneliti implikasi dan keberkesanan pelaksanaan undang-undang ini sebelum sebarang ketetapan muktamad diumumkan.
Sumber: Harian Metro




