Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tahun lalu, tular seorang pelajar perempuan yang tidak dapat menduduki ujian khas International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu 2025 di MRSM Kuala Krai.
Atas keprihatinan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beliau membantu pelajar berkenaan sehingga berjaya menduduki peperiksaan tersebut.
Sekali lagi hantaran Dr Asyraf menjadi tumpuan, apabila beliau membantu pasangan suami isteri yang tidak mampu untuk membayar yuran IGCSE dan perbelanjaan lain persekolahan anaknya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Kongsinya, bapa pelajar berkenaan yang dikenali sebagai Pakcik Muhsin separa buta dan baru sahaja mengalami kemalangan menyebabkannya tidak dapat bekerja.
“Pakcik Muhsin ni separa buta, baru kemalangan dan tak dapat nak bekerja, juga orang kawasan saya. Dia datang mengadu tak mampu nak bayar yuran IGCSE dan perbelanjaan lain untuk anaknya di MRSM.
“Pakcik Muhsin Abbas dan isterinya yang datang jauh dari Ampangan dengan GRAB semata-mata untuk mohon pertolongan saya perihal anak perempuannya yang cemerlang dan sudahpun mendaftarkan diri di MRSM Tun Abdul Razak Pekan Pahang dalam aliran IGCSE,” katanya.
Datang dari jauh
Beliau tersentuh melihat usaha daripada Pakcik Muhsin dan isterinya yang sanggup mengambil perkhidmatan e-hailing (Grab) semata-mata untuk meminta pertolongan darinya.
“Tersentuh hati saya dengan kecekalan keduanya yang miskin dan sanggup ambil GRAB jauh ke Rembau dari Ampangan semata-mata untuk jumpa saya.
“Lebih terharu semangat kedua ibubapa ini untuk melihat anaknya yang cemerlang dapat meneruskan pengajian di MRSM walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Sudahlah separa buta kerana masalah kencing manis kronik, baru lepas kemalangan dan tidak dapat bekerja, namun tetap bersungguh-sungguh mahu melihat anak perempuannya berjaya dalam pelajaran.
“InsyaAllah saya akan masukkan anak beliau dalam skim BUDI (Bantuan Untuk Pendidikan MARA) bagi pelajar-pelajar miskin yang berada di MRSM,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MARA tetap prihatin dan akan memberikan keutamaan kepada pelajar-pelajar dari kalangan keluarga miskin agar tidak tercicir daripada arus pendidikan.
Beliau juga menegaskan, hanya dengan ilmu yang mampu merubah kehidupan dan keluarga serta masyarakat.








