Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
27 November lalu, seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dilaporkan rentung, selepas kenderaan yang dipandu bapanya terbabas dan terbakar di Kilometer 69, Jalan Kota Bharu-Gua Musang.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4 pagi, itu, mangsa, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat, tidak sempat diselamatkan dan rentung dalam kenderaan tersebut.
Bapanya, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, cuba menyelamatkan anaknya, namun turut terbakar dan dilaporkan melecur 80 peratus. Manakala isterinya, Norhasidah Razmi, 25, mengalami kecederaan ringan namun masih trauma dengan kejadian itu.

Selepas lapan hari bertarung nyawa di hospital, Wan Shahrizat dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada jam 10.45 pagi Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, Wan Shahriza sebelum ini dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai. Tetapi dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II atas permintaan keluarga.
Tambahan, mangsa ketika itu sedang kritikal dan memerlukan pemantauan rapi oleh doktor, serta bergantung pada mesin bantuan pernafasan.
Laporan berkaitan: ‘Sabeena anakku, maafkan abiy’ – Bayi 7 bulan rentung dalam kereta terbakar
Terdahulu video kenderaan tiga sekeluarga itu yang terbakar tular di media sosial. Turut kedengaran jeritan ibu bapa mangsa yang meraung dan cuba menyelamatkan bayi mereka.
Sumber: Kosmo! Online