Bantuan RM100 tak dapat puaskan semua, tapi dapat mengisi perut yang kosong | The Reporter

Bantuan RM100 tak dapat puaskan semua, tapi dapat mengisi perut yang kosong

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tersenyum semasa lawatan ke pasar raya bersama rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim | Kredit gambar: Pejabat Perdana Menteri

Bantuan tetap bantuan, bukan tiket penuhi semua kehendak

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan pemberian tunai RM100 secara one-off kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas, dikreditkan melalui MyKad bermula 31 Ogos 2025. Bantuan ini khusus untuk pembelian barangan asas di lebih 4,100 premis, termasuk pasar raya utama dan kedai runcit.

Namun dalam kalangan netizen, ada yang mempersoalkan jumlah tersebut dengan nada sinis seperti “RM100 boleh beli apa?” dan “Boleh penuh troli ke?”.

Walaupun mungkin kelihatan seperti jenaka, persoalan seperti ini sebenarnya mencerminkan kecenderungan segelintir pihak yang sentiasa mencari kelemahan pada setiap inisiatif, tanpa mengambil kira konteks dan kemampuan semasa negara.

Baca juga:

Sudah terbiasa meminta lebih, tetapi tak pernah cukup

Realitinya, tidak semua rakyat bersikap sedemikian. Ramai yang sedar bahawa RM100 bukanlah jumlah besar. Namun dalam skala nasional, dengan lebih 22 juta penerima, ia melibatkan peruntukan kerajaan yang amat besar. Bagi sesetengah keluarga, bantuan itu cukup untuk mengisi keperluan dapur selama seminggu atau dua. Dan yang lebih penting, bantuan ini bersifat universal dan mudah diakses tanpa borang rumit atau permohonan berlapis.

Di media sosial, ada yang membalas sindiran itu dengan nada pedas, antaranya menyebut bahawa kalau RM100 pun masih dipersoal, mungkin bukan jumlahnya yang patut ditanya tetapi gaya hidup dan sikap kita terhadap bantuan.

Ada juga yang menegur, bila tak dapat bantuan marah-marah, tapi bila dah dapat, masih tanya pula sama ada boleh penuhkan troli atau tidak. Sedangkan kalau nak troli penuh, caranya ialah dengan usaha lebih, bukan terus mengeluh.

Bukan soal amaun, tapi soal sikap

Kerajaan mana pun, apa jua parti atau Perdana Menteri, tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak. Itu hakikat. Tetapi apabila sesuatu bantuan diberi, sekurang-kurangnya terimalah dengan adab dan pertimbangan. Ia bukan soal menyokong atau membenci kerajaan, tetapi soal menghormati usaha membantu walaupun kecil dalam keadaan fiskal yang mencabar.

Akhirnya, terpulang kepada setiap individu untuk menilai nilai sesuatu bantuan. Sama ada dengan objektif atau dengan prejudis. Yang pasti, bantuan akan habis dibelanjakan tetapi sikap dan kesyukuran kekal menjadi cerminan kematangan rakyat.

Related Posts