Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bank-bank di Malaysia akan mula mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak 8% ke atas perkhidmatan kewangan tertentu yang dikenakan yuran dan komisen bermula 1 Julai ini.
Pelaksanaan ini dilakukan secara berperingkat selaras dengan pewartaan dan garis panduan oleh Kementerian Kewangan serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurut kenyataan bersama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), perkhidmatan asas kekal dikecualikan daripada cukai ini.
“Cukai perkhidmatan ini hanya dikenakan ke atas perkhidmatan kewangan tertentu yang melibatkan bayaran yuran dan komisen.
“Sebagai contoh, caj berkaitan akaun simpanan dan semasa, termasuk untuk perkhidmatan asas kepada orang ramai, tidak akan dikenakan cukai, sama ada bagi perbankan konvensional mahupun Islam,” katanya.
Memetik laporan Berita Harian, pelaksanaan cukai ini dijangka memberi kesan kepada beberapa jenis perkhidmatan perbankan bukan asas seperti pemindahan dana rentas sempadan, transaksi pelaburan, pengeluaran laporan khas dan perkhidmatan nasihat tertentu.
Langkah ini adalah usaha kerajaan memperluas asas cukai negara secara menyeluruh, tanpa membebankan rakyat berpendapatan rendah dan menyokong matlamat konsolidasi fiskal jangka sederhana.








