Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Banjir besar yang meragut sekurang-kurangnya 170 nyawa di Thailand kini mencetuskan tindakan tegas kerajaan terhadap beberapa pegawai kanan tempatan, termasuk pemecatan Ketua Daerah Hat Yai, Eak Young-Apai Na Songkhla dan pertukaran Ketua Polis Hat Yai susulan kegagalan mengurus bencana.
Menurut laporan Nation Thailand, Eak Young-Apai didapati meninggalkan daerah sejak 22 November ketika krisis banjir memuncak, sekali gus menjejaskan koordinasi operasi bantuan di wilayah Songkhla.
Keputusan pemecatan dibuat selepas kerajaan mendapati kelewatan menghantar bantuan serta kekeliruan antara agensi menyebabkan ramai penduduk terperangkap tanpa bekalan asas.
Baca juga:
- ‘Bukan sebab dengki’ – MP Kota Melaka jawab kenyataan Bos Mydin
- DBKL turunkan caj tapak bazar Ramadan 2026 kepada RM400
- ‘Kami diam bertahun’ – Isu Balqis–Mia Sara meledak di media sosial
Sumber kerajaan turut memaklumkan beberapa pegawai daerah lain telah ditukar ke jawatan pentadbiran sementara bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman mengenai kelemahan sistem amaran awal dan penyelarasan bantuan.
Dalam masa sama, Reuters melaporkan Ketua Polis Hat Yai turut dipindahkan berikutan kelewatan tindak balas keselamatan dan penyelamatan di kawasan terjejas. Langkah itu sebahagian daripada rombakan struktur tempatan oleh kerajaan pusat bagi memulihkan kepercayaan awam terhadap pengurusan krisis.
Perdana Menteri Anutin Charnvirakul sebelum ini mengakui kelemahan dalam sistem tindak balas bencana negara, namun menegaskan siasatan penuh sedang dijalankan bagi memastikan tragedi serupa tidak berulang.
Kerajaan Thailand telah menyalurkan pampasan sehingga 2 juta baht (RM260,000) kepada keluarga mangsa yang terkorban, selain bantuan 9,000 baht kepada isi rumah terjejas. Moratorium hutang, pinjaman tanpa faedah, serta pelan pemulihan ekonomi kecil turut dilaksanakan di wilayah terjejas.
Banjir kali ini dianggap antara paling buruk dalam sejarah Thailand, menenggelamkan lebih 400 kawasan penempatan dan menjejaskan berjuta-juta penduduk di selatan negara itu.











