Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat meskipun situasi banjir semakin kritikal dengan lebih 150,000 mangsa terjejas di 10 negeri.
Beliau menegaskan, seluruh jentera pasukan keselamatan dan agensi kerajaan berfungsi dengan baik dalam menangani bencana ini.
“Sekarang ini, seluruh jentera seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mampu mengawal situasi dengan berkesan,” katanya selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan, Setiu, semalam.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi Kelantan dan Terengganu, dengan masing-masing menerima RM25 juta. Dana ini akan digunakan untuk membaik pulih infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung yang rosak akibat banjir.
Selain itu, bantuan khas kewangan sebanyak RM500 turut diumumkan untuk lebih 14,000 penjawat awam negeri Terengganu, dengan jumlah keseluruhan RM7.4 juta. Bantuan ini bertujuan meringankan beban mereka yang turut terjejas.
Anwar menjelaskan, RM50 juta telah disalurkan sebelum ini melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membantu mangsa banjir di negeri-negeri terjejas. Namun, beliau menjangka kos keseluruhan bagi kerja pemulihan dan kerosakan pasca banjir di semua negeri mungkin mencecah sehingga RM1 bilion.
Berdasarkan laporan terkini, Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan lebih 96,000 orang, manakala Terengganu pula mencatatkan 42,040 mangsa. Daerah Besut di Terengganu menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan 15,756 mangsa.
Sumber: Harian Metro








