Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dilaporkan hilang dari kediamannya di Kampung Mohd. Noor, Parit Sulong, sejak Jumaat lalu.
Kehilangan Nur Fatihah On, 19, hanya disedari oleh ahli keluarganya selepas mendapati ketiadaannya di dalam rumah yang dipercayai telah keluar pada jam 10 malam, mengikut kenalannya, tanpa pengetahuan ahli keluarga.
Abangnya, Muhammad Hafiz, 33, berkata, pada malam kejadian, ibunya, Mirah Khamis, 84, ada ternampak Nur Fatihah mengemas pakaian dan apabila ditanya tujuannya, tiada sebarang jawapan diterima.
Difahamkan, gadis itu ada berkenalan dengan seorang lelaki berasal dari Selangor sejak setahun yang lalu. Ahli keluarga menasihatkannya untuk berhati-hati, tetapi sia-sia dan Nur Fatihah kerap memberontak.
Kehilangan Nur Fatihah itu membuatkan keluarganya terpaksa menyelongkar biliknya untuk mencari sebarang petunjuk yang mempunyai kaitan dengan kehilangannya, sebelum menemui tiga keping surat yang mengandungi butiran seolah-olah dia sedang merancang sesuatu sebelum menghilangkan diri.
“Surat itu ditujukan kepada kenalannya dan mereka dikatakan berpakat untuk melarikan diri,” katanya.
Kehilangan gadis itu menyebabkan ibunya sedih dan bimbang akan keselamatan anak bongsunya itu. Apatah lagi, warga emas berkenaan menghidap darah tinggi, kencing manis dan jantung itu enggan menjamah makanan yang disediakan.
Muhammad Hafiz pernah cuba menghubungi kenalan adiknya untuk mendapatkan maklumat, tetapi mereka juga tidak tahu di mana keberadaan Nur Fatihah.
“Kami berharap dia pulang segera kerana ibu tidak berapa sihat. Keadaan kesihatannya mungkin bertambah teruk jika Nur Fatihah tidak pulang ke rumah dalam masa terdekat,” katanya.
Sumber: Harian Metro








