Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pakaian unik yang diperbuat daripada plastik gelembung keluaran jenama digelar ‘Balenciaga of Belarus’ mencuri perhatian menjelang Tahun Baru 2024. Koleksi terhad ini menjadi bualan selepas tular di TikTok.
Seorang wanita di Minsk berkongsi penemuannya di sebuah pusat beli-belah, menunjukkan gaun unik diperbuat sepenuhnya daripada plastik gelembung dengan reka bentuk gelembung besar.
“Gadis-gadis, kalau cari gaun untuk Tahun Baru, ini dia,” katanya berseloroh dalam video yang kini meraih lebih 115,000 tontonan sejak dimuat naik pada 22 Disember.
Gaun itu bukan sekadar rekaan hiasan. Wanita tersebut menunjukkan ia dilengkapi zip dan tag harga yang tertera 280 ruble Belarus (RM396).
ZNWR, jenama di sebalik rekaan viral ini, mempromosikan pakaian tersebut di Instagram sebagai pilihan untuk mereka yang ingin tampil berbeza di malam Tahun Baru, berbanding pakaian biasa daripada baldu atau satin.
Koleksi terhad ini termasuk jaket dan gaun, masing-masing hanya dihasilkan sebanyak 20 unit. Harga jaket ialah 380 ruble Belarus (RM537).
Pakaian ini mencetuskan perbandingan dengan jenama fesyen mewah Balenciaga, namun respons netizen berbeza-beza. Ada yang berminat untuk membeli, sementara yang lain menganggapnya sekadar gimik PR.
Walaupun ada kritikan, beberapa komen tetap terhibur. “Letak gelembung di bahagian dalam, jadi bila makan terlalu banyak, ia akan meletus sendiri,” seloroh seorang pengguna. – Agensi








