Seorang lelaki di Jepun mengalami keadaan luar biasa apabila dia tidak lagi mampu mengangkat kepalanya sendiri selepas terlalu lama tunduk melihat telefon.
Menurut jurnal perubatan JOS Case Reports, lelaki berusia 25 tahun itu disahkan mengalami ‘sindrom leher jatuh’ selepas bertahun-tahun menghabiskan masa bermain telefon bimbit dalam bilik.
Sebelum mendapatkan rawatan, dia mengalami sakit di bahagian leher, kesukaran untuk menelan dan penurunan berat badan yang ketara. Lama-kelamaan, otot lehernya menjadi terlalu lemah hingga tidak lagi mampu menyokong kepalanya.
Imbasan x-ray menunjukkan tulang lehernya telah membengkok dengan parut ketara pada bahagian atas tulang belakang akibat posisi tunduk yang berpanjangan. Sebuah benjolan besar turut terbentuk di belakang lehernya.
Pada awalnya, doktor mencuba rawatan menggunakan alat sokongan leher. Namun apabila pesakit mula mengadu rasa kebas, pasukan perubatan membuat keputusan untuk menjalankan pembedahan. Beberapa tulang dan tisu parut dibuang, sebelum skru serta batang logam dimasukkan bagi membetulkan semula kedudukan leher.

Enam bulan selepas pembedahan, dia sudah boleh mengangkat kepala seperti biasa. Setahun kemudian, keadaan lehernya kekal stabil.
Doktor menjadikan kes ini sebagai peringatan tentang bahaya penggunaan telefon secara berlebihan, terutama apabila dilakukan dalam posisi yang tidak betul. Walaupun sindrom ini biasanya dikaitkan dengan gangguan saraf atau otot, ia juga boleh berlaku akibat postur tidak sihat yang berpanjangan. – Agensi








