Pemilik Azam Motor Banting raih Pujian, tawar tampal tayar pancit, cas bateri secara percuma | The Reporter

Pemilik Azam Motor Banting raih Pujian, tawar tampal tayar pancit, cas bateri secara percuma

Azam Motor Banting
Gambar: FB Azam Motor Banting

“Pastikan kereta itu bergerak semula.” Itu prinsip yang dipegang oleh pemilik sebuah bengkel yang menawarkan bantuan kepada individu yang memerlukan.

Tindakan seorang pemilik bengkel kenderaan di Banting tampil memberi bantuan percuma kepada pemilik kenderaan yang menghadapi masalah kecil seperti tayar pancit atau bateri habis benar-benar menyentuh hati ramai.

Pemilik Azam Motor Banting menjadi perhatian netizen selepas menawarkan perkhidmatan tampal tayar pancit dan cas bateri secara percuma yang disifatkan sebagai satu inisiatif kecil yang memberi kesan besar, khususnya kepada mereka yang dalam kesempitan hidup.

“Sumbangan ini mungkin nampak kecil pada kita yang mampu. Bukan semua orang yang memerlukan. Namun, ada masanya nanti, jika kita pula diuji — gaji cukup-cukup, barang dapur belum beli, pampers anak dah nak habis — tiba-tiba tayar pancit atau bateri habis, pasti kita faham betapa berharganya bantuan ini,” katanya dalam satu hantaran media sosial.

Inisiatif ini bukan sahaja menjadi contoh tanggungjawab sosial, malah menggambarkan nilai ikhlas membantu tanpa mengira balasan.

Bagi warga Banting dan kawasan sekitar yang mengalami masalah kecemasan kecil seperti ini, mereka dialu-alukan untuk terus ke bengkel Azam Motor.

“Jika kalian berada di area Banting, datanglah ke bengkel kami. Pastikan kereta itu bergerak semula,” katanya.

Dalam hantaran yang sama, Pengarah Urusan Azam Motor Banting, Puan Mastinah turut memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan akan diteruskan secara berterusan, demi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

“Tampal tayar pancit dan charge bateri Percuma InshaAllah berterusan sampai bila-bila. Bukan semua orang senasib dengan kita, ada yang terpaksa pandu walaupun pancit sebab tak cukup duit,” katanya.

Related Posts