RM7 bilion dijangka diraih tahun ini hasil tarif 19% yang lebih kompetitif
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Langkah Amerika Syarikat (AS) menurunkan tarif import ke atas barangan Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus dijangka memberi dorongan besar kepada sektor pembinaan, perabot dan bahan binaan negara. Eksport Malaysia ke AS untuk produk berkenaan diunjur mencecah RM7 bilion pada tahun ini.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kadar baharu itu bukan sahaja mencerminkan keyakinan AS terhadap dasar ekonomi Malaysia, malah membuka ruang pasaran lebih luas kepada syarikat tempatan.
“Ini bukti kematangan Malaysia dalam rundingan antarabangsa. Kita berjaya capai kadar lebih rendah tanpa mengorbankan kedaulatan negara,” katanya.
Baca juga:
- Muslimat PAS puji langkah Tamil Nadu tutup 717 premis arak
- PASTI Melaka nafi dakwaan pecat jurulatih bola jaring
- Remaja terselamat dari diculik, gigit tangan suspek sebelum lari selamatkan diri
Tarif lebih rendah buka laluan akses teknologi dan pasaran baharu
Nga berkata, manfaat tarif 19 peratus akan turut dirasai dalam bentuk akses kepada bahan dan teknologi binaan berkualiti pada harga lebih kompetitif. Ini sekaligus menyokong usaha kerajaan ke arah pembinaan bandar pintar dan rumah mampu milik yang lebih lestari.

Langkah ini, katanya, adalah hasil rundingan berterusan antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kerajaan AS, dipimpin sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menambah nilai kepada perkembangan ini, Nga turut menyambut baik pengumuman lawatan Presiden AS Donald Trump ke Kuala Lumpur pada Oktober depan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Kehadiran Trump bakal mengukuhkan hubungan serantau dan memberi peluang Malaysia mempamerkan pencapaian dalam transformasi bandar hijau di bawah wawasan MADANI,” katanya.
Sumber: Berita Harian








