Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Susulan serangan udara Iran terhadap Israel, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memaklumkan menerusi panggilan telefon kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa mereka tidak akan terlibat dengan sebarang operasi serangan balas terhadap Iran.
Dalam satu laporan juga menyatakan Pegawai Rumah Putih berkata, Biden dan penasihat kanan beliau bimbang jika serangan balas Israel ke atas Iran berisiko mencetuskan konflik lebih meluas dan mengakibatkan kemusnahan lebih dahsyat.
Namun begitu menerusi kenyataan daripada Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menyatakan Washington akan terus menyokong pertahanan Tel Aviv.
Kenyataan yang dibuat oleh Biden bagaimanapun diterima oleh Netanyahu. Sementara itu, Biden juga dijangka akan menghubungi pemimpin Kumpulan 7 (G7) untuk membincangkan langkah penyelarasan dan tindak balas diplomatik terhadap Operasi Janji Benar tersebut.
Serangan balas tamat
Dalam perkembangan lain Iran mengesahkan telah menamatkan serangan balas terhadap Israel. Kenyataan tersebut disahkan oleh Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral, Mohammad Baqeri.
“Operasi telah disempurnakan dengan jayanya dari malam tadi hingga pagi ini dan mencapai semua objektifnya. Sebab operasi ini adalah penyeberangan garis merah oleh rejim Zionis.”
“Ia sudah berakhir dari sudut pandangan kami, namun tentera kami sentiasa siap siaga untuk bertindak jika wujud ancaman daripada musuh,” katanya.
Terdahulu, pihak berkuasa Iran telah berulang kali memberi amaran kepada rejim Zionis kerana melancarkan serangan ke atas konsulat Iran di Damsyik.
Rentetan insiden berkenaan juga, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khameni berkata, Israel akan menerima akibat atas tindakan mereka.
Sumber: Sinar Harian, TV Al-Hijrah