Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Arab Saudi terus sokong Palestin, salur bantuan AS$30 juta untuk tahun 2025
• Dana disampaikan di Kedutaan Arab Saudi di Amman, Jordan
• Sejak beberapa tahun lalu, bantuan keseluruhan Arab Saudi kepada Palestin cecah AS$5.3 bilion
Kerajaan Arab Saudi menyerahkan bantuan kewangan berjumlah AS$30 juta (kira-kira RM141 juta) kepada Kementerian Kewangan Palestin bagi menyokong keperluan negara itu sepanjang tahun 2025.
Penyerahan bantuan itu dilakukan dalam satu pertemuan rasmi di Kedutaan Arab Saudi di Amman pada Khamis, melibatkan Menteri Kewangan Palestin, Omar Al-Bitar dan Kuasa Usaha Sementara Arab Saudi di Jordan, Mohammed bin Hassan Mounis.
Al-Bitar menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas bantuan berterusan bukan sahaja dari sudut kewangan, tetapi juga pendirian politik kukuh dalam menyokong hak rakyat Palestin.
Apa kata Menteri Kewangan Palestin?
Beliau menyifatkan sumbangan itu sangat penting kerana membantu meringankan krisis kewangan yang sedang dihadapi Palestin akibat dasar keras Israel sejak kebelakangan ini.
Al-Bitar turut menyampaikan ucapan terima kasih daripada Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Mohammad Mustafa kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas sokongan politik, ekonomi dan kemanusiaan yang tidak pernah putus.
Sementara itu, Mohammed Mounis menjelaskan dana tersebut menunjukkan komitmen Arab Saudi dalam membantu kerajaan Palestin melaksanakan tanggungjawab kewangan, termasuk memperkukuh daya tahan rakyatnya.
Beliau turut menambah, “Arab Saudi telah menyalurkan sekitar AS$5.3 bilion kepada Palestin dalam bentuk bantuan kemanusiaan, bantuan bencana dan pembangunan sejak beberapa tahun lalu.” – Agensi




