Apple cadang labur AS$10 juta di Indonesia, harap larangan jualan iPhone 16 ditarik balik - The Reporter

Apple cadang labur AS$10 juta di Indonesia, harap larangan jualan iPhone 16 ditarik balik

pelaburan Apple di Indonesia
Gambar hiasan | Sumber: Business Standard

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Apple Inc. berhasrat melabur hampir AS$10 juta untuk meningkatkan pengeluaran produk di Indonesia, menurut beberapa sumber, bagi membolehkan larangan penjualan iPhone terbarunya di negara itu ditarik balik.

Cadangan ini melibatkan pelaburan Apple dalam sebuah kilang di Bandung, selatan Jakarta, melalui kerjasama dengan senarai pembekalnya. Kilang tersebut dijangka menghasilkan aksesori dan komponen bagi peranti Apple.

Apple telah menyerahkan cadangan ini kepada Kementerian Perindustrian Indonesia, yang sebelum ini menghalang permit penjualan iPhone 16 kerana unit tempatan Apple belum memenuhi syarat 40 peratus kandungan tempatan bagi telefon pintar dan tablet.

Kementerian tersebut kini sedang mempertimbangkan cadangan ini, yang masih belum muktamad dan mungkin mengalami perubahan. Keputusan dijangka dibuat tidak lama lagi, menurut sumber.

Apple dan Kementerian Perindustrian Indonesia belum memberi sebarang komen berhubung perkara ini.

Melindungi sektor runcit tempatan

Larangan iPhone 16 di Indonesia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan baharu di bawah Presiden Prabowo Subianto untuk meningkatkan pembuatan tempatan dan melindungi industri domestik. Indonesia turut mengharamkan penjualan telefon Google Pixel atas alasan pelaburan tempatan yang tidak mencukupi.

Langkah ini meneruskan dasar yang digunakan semasa pentadbiran bekas Presiden Joko Widodo, yang mana pada tahun lepas, Indonesia menyekat ByteDance Ltd. dari China bagi melindungi sektor runcit tempatan. Langkah ini memaksa ByteDance untuk melabur AS$1.5 bilion dalam usaha sama dengan Tokopedia.

Apple tidak memiliki kilang bebas di Indonesia dan bekerjasama dengan pembekal tempatan untuk penghasilan komponen. Pelaburan sekitar AS$10 juta dianggap kecil untuk pasaran Indonesia yang mempunyai lebih 278 juta pengguna, kebanyakan mereka muda dan celik teknologi.

Ketegasan Indonesia ancam pelaburan asing

Namun, pendekatan tegas Indonesia berisiko menghalang syarikat asing daripada meningkatkan kehadiran mereka, sekaligus mengancam sasaran Prabowo untuk menarik pelaburan luar.

Menurut kerajaan Indonesia, Apple hanya melabur sebanyak 1.5 trilion rupiah (AS$96.2 juta) menerusi akademi pembangun, masih belum mencapai komitmen 1.7 trilion rupiah. Kerajaan turut menggesa Tokopedia dan TikTok untuk menurunkan penjual iPhone 16 dari platform mereka atau berdepan tindakan undang-undang.

Awal tahun ini, kerajaan Indonesia mengenakan sekatan import ke atas ribuan produk untuk memaksa syarikat asing meningkatkan pembuatan di dalam negara. Bagaimanapun, langkah ini mencetuskan kebimbangan di kalangan industri, termasuk LG Electronics Inc., yang mengadu tidak dapat mengimport komponen bagi produk mereka. – Agensi

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!