'Apabila al-Quran dipijak, diam bukan satu pilihan' - Sultan Pahang | The Reporter

‘Apabila al-Quran dipijak, diam bukan satu pilihan’ – Sultan Pahang

Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah berhubung insiden pelajar memijak al-Quran.
Gambar: Facebook Kesultanan Pahang.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa kesal dna dukacita terhadap insiden penghinaan terhadap Al-Quran yang disifatkan sebagai perbuatan biadab serta menggugat keharmonian negeri dan negara.

Baginda bertitah, insiden melibatkan seorang mahasiswa dari sebuah universiti awam di Pahang yang didakwa memijak naskhah Al-Quran, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia, tidak boleh dipandang ringan.

“Perbuatan ini bukan sahaja satu tindakan yang sangat biadab, bahkan satu penghinaan yang mengguris hati umat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat yang dibina atas asas saling menghormati.

“Apabila Al-Quran dipijak, maka yang tercemar bukan sekadar kertasnya, tetapi kesucian wahyu dan maruah umat. Dalam hal ini, saya menegaskan bahawa apabila Al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan,” titah Baginda.

Pertahankan agama

Dalam titahnya, Baginda menegaskan bahawa berdiam diri ketika agama dihina adalah tanda lemahnya jiwa dan pudarnya maruah. Namun, mempertahankan kesucian agama tidak boleh dilakukan secara melulu atau mengikut emosi.

Memetik kata-kata tokoh ulama tersohor, Buya Hamka, Baginda bertitah bahawa ungkapan “jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kapan” bukanlah seruan kepada keganasan, sebaliknya peringatan tentang tanggungjawab moral setiap Muslim untuk mempertahankan maruah agama.

“Islam menuntut ketegasan, tetapi dalam lingkungan keadilan. Kita tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku, namun kita juga tidak boleh membalas dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan. Jika emosi menguasai akal, semua pihak akan rugi,” titah Baginda lagi.

Tindakan tegas

Selaku Ketua dan Pelindung Agama Islam Negeri Pahang, Baginda menegaskan sebarang penghinaan terhadap Islam wajib ditangani secara tegas tanpa kompromi menurut lunas undang-undang.

“Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina agama. Biar mati anak, jangan mati adat. Dan adat yang paling utama dalam negeri ini ialah menghormati agama sebagai tunjang kehidupan,” titah Baginda.

Dalam masa sama, Baginda mengingatkan bahawa setiap rakyat tanpa mengira agama dan bangsa wajib saling menghormati kitab suci serta kepercayaan masing-masing.

“Kita sebagai orang Islam atau penganut mana-mana agama sekalipun harus menghormati semua kitab dalam semua agama dan tidak mempersendakan mana-mana agama. Tanggungjawab saya sebagai Sultan Pahang adalah untuk menyatukan semua rakyat beta, tidak kira bangsa, kaum atau agama.

“Kita semua hendak tinggal di bumi Pahang ini dalam suasana aman sentosa, harmoni dan semangat muhibah yang sentiasa terpelihara,” titah Baginda.

Baca juga:
Hormati agama masing-masing

Tegas Baginda lagi, mempertahankan kesucian Islam tidak bererti menafikan hak serta penghormatan terhadap agama lain.

“Negeri ini dibina atas semangat hidup bersama dalam kepelbagaian. Islam sebagai agama Persekutuan dan agama bagi negeri ini menjunjung prinsip keadilan dan rahmat.

“Kita seharusnya mempertahankan agama kita dengan tegas dan dalam masa yang sama menghormati penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan tenang,” titah Baginda.

Dijadikan pengajaran

Menurut Baginda, insiden tersebut wajar dijadikan cermin muhasabah agar masyarakat tidak terlalu ghairah mengejar kemajuan dunia sehingga alpa memelihara akhlak dan nilai spiritual.

“Negeri boleh maju dengan teknologi, tetapi ia hanya akan bermaruah jika akhlaknya terpelihara,” titah Baginda.

Justeru itu juga, Baginda menyeru seluruh rakyat kembali kepada al-Quran, membaca, memahami maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan kita.

Related Posts